HOME

Monday, December 28, 2015

Menyelusuri isu Tamu Kianggeh



Menyelusuri isu Tamu Kianggeh 




Isu pemindahan peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh ke tapak baru di Gadong banyak mendedahkan kelemahan-kelemahan pihak berkuasa dalam mengurus dan mentadbir kemudahan-kemudahan serta kuatkuasa pengawalan muamalah di tamu tersebut.

Dari pemerhatian saya, kebersihan dikawasan tersebut tidak diurus dengan baik. Kemudahan-kemudahan yang disediakan tidak terpelihara. Terdapat sebuah bangunan baru yang kononnya dibina untuk kemudahan peniaga-peniaga agar lebih teratur tinggal terbengakali tidak disiapkan. Terdapat juga mesin-mesin moden dan canggih untuk melupuskan bahan buangan dengan sempurna tidak digunakan. Kata salah seorang peniaga tidak pernah dia melihat mesin itu digunakan dan tidak juga pernah ada inisiatif pihak-pihak tertentu untuk menunjuk ajar bagaimana menggunakanya.   Kawasan pembuangan sampah di Tamu Kianggeh tidak terurus dengan baiknya dan banyak lagi isu-isu pengurusan yang lemah yang dapat dilihat semasa membuat kunjungan ke Tamu Kianggeh.

Dalam hal ini memang mudah untuk mengambing hitamkan penjaja-penjaja dan peniaga-peniaga. Tetapi hakikatnya sebagai pihak berkuasa yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir kawasan tamu itu dan dari sudut akauntabiliti, mereka juga mesti dipertanggunjawabkan atas pengabaian kebersihsan, keselamatan dan keselesaan serta kecantikan kawasan tamu tersebut.   

Persoalannya, kalau Tamu Kianggeh pun susah untuk pihak berkenaan mengurus dan mentadbir dengan baiknya, bagaimana kita boleh yakin mereka boleh memberikan perkhidmatan cemerlang di kawasan tamu baru di Gadong?

Kesungguhan pihak berkenaan untuk memindah peniaga-peniaga ke tapak baru sangat mengkagumkan tapi lebih mengkagumkan ialah tindakan mahu menutup mulut mereka agar akur saja dan jangan buat bising. Sekarang pintu mereka untuk bersuara dan meluahkan kegelisahan kepada pihak-pihak berkenaan sudah di kabat.

Senario nya mungkin kurang 12 peniaga saja yang terjejas kerana faktor umur, sentimen terhadap warisan sejarah dan budaya serta keupayaan untuk menghadapi perubahan yang mencabar membuatkan mereka tiada pilihan lain selain gulung tikar.

Ikut sifir pihak berkuasa, kepentingan bilangan mereka yang kecil mungkin kurang mustahak dipertimbangkan berbanding kepentingan untuk memajukan kawasan tamu baru terutama projek BND 2.6 juta Tamu Gadong (Berpayung). 

Mungkin saja dalam sifir ini mereka terlepas pandang dari sudut kemanusiaan dan ihsan. Mungkin saja mereka terlepas pandang untuk mengambil kira berapa banyak perut yang perlu diberikan makanan setiap hari, kanak-kanak yang bergantung harap dari rezeki pencarian keluarga yang akan tersisih dan warga-warga emas serta ibu tunggal yang bergantung hidup di Tamu Kianggeh dalam arus kemajuan kawasan tamu baru ini? Apakah mereka sudah mengambil kira sebilangan kecil yang terjejas ini serta keluarga-keluarga mereka akan jatuh miskin gara-gara tidak lagi berupaya untuk berniaga di Tamu Kianggeh?

Sementara itu menurut maklumat dari sumber-sumber yang sahih pihak berkuasa telah ‘meminta’ kerjasama dari semua media perdana di negara ini agar tidak lagi ‘menyiarkan’ isu peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh. Wartawan-wartawan pula diminta agar berkerjasama menjayakan projek pemindahan tersebut dan paling penting membantu menyelamatkan projek Tamu Gadong (Berpayung) yang menelan belanja BND 2.6 juta untuk disiapkan tetapi pernah terbengkalai buat seketika disebabkan perancangan yang lemah. Dalam bahasa kasarnya wartawan-wartawan dari media-media perdana yang juga dibawah kawalan mereka sudah di gam dan pena mereka sudah dirantai. Mereka tidak lagi berani melaksanakan peranan asas mereka iaitu untuk menegakkan keadilan dan kebenaran, melindungi hak semua pihak untuk didengari suara mereka.

Susah untuk saya memahami kenapa elit-elit pentadbir tidak gemar dan tidak selesa dengan suara-suara peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh. Menurut peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh yang ditemui, ditahap membuat perancangan pun mereka yang berkepentingan ini tidak pernah dibawah berunding. Mereka baru sekali dipanggil untuk bermuzakarah tentang program untuk memindah mereka ke tapak yang baru, itupun setelah isu mereka disebarkan melalui media-media perdana dan tersebar luas melalui media sosial.

Apa yang dapat dilihat dalam isu Tamu Kianggeh ialah elit-elit pentadbir yang berkenaan gagal dalam memikir dan membuat keputusan yang adil dan berkesan. Yang dimaksudkan berkesan itu ialah keberkesanan yang menghasilkan kesan positif bukan negatif, keputusan yang tepat, matang, sesuai dengan masa, persekitaran dan tidak membawa musibah kepada orang-orang yang terlibat terutama apabila ia melibatkan golongan orang berpendapatan rendah. 

Dalam lain perkataan keputusan yang adil ialah keputusan yang tidak mendatangkan kemudaratan kepada semua yang menerima hasil keputusan tersebut. Orang yang membuat keputusan berkesan ini akan berpuas hati dengan keputusannya. Fikirannya tenang, hatinya jernih dan pandangannya jelas. Ia akan berani berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang hasil keputusan yang dibuat dengan penuh bijaksana. Kalau ianya orang Islam ia yakin bahawa perbuatannya itu baik dan diredai Allah. Apakah kriteria-kriteria ini terdapat dalam pengurusan isu Tamu Kianggeh? Wallahu wa’alam bisawab! MHO

NOTA: Artikel diatas merupakan pandangan peribadi saya dan tidak mewakili pandangan mana-mana pertubuhan yang saya sertai.

Sunday, May 17, 2015

Titah ajak kita introspeksi diri


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tahun ini sekali lagi menandai sambutan Israk Mekraj dengan titah menekankan pentingnya memelihara ugama yang menurut baginda merupakan tunggak segala kebaikan. 


Ada tiga perkara penting yang digarisbawahkan baginda dalam hal memelihara ugama ini.

Pertama ialah pentingnya menunaikan kewajipan sembahyang lima waktu dengan sempurna, kedua mempelajari ilmu ugama dan Al-Quran dengan bersungguh-sungguh bukannya dengan ala kadar dan ketiga  menentukan dasar dan matlamat yang hendak dituju (kearah memperkukuh ugama), bukan membuat dasar yang melemahkan ugama.

Kenapa tiga perkara ini di tekankan baginda sultan?

Jawapannya jelas iaitu terdapat keperluan yang semakin mendesak untuk mempertingkatkan, memperkukuh dan memperbaiki tiga perkara tersebut yang ada kaitannya dengan akidah, akhlak dan amal umat Islam khususnya di Brunei.

Kalau diamat-amati titah tersebut jelas mengambarkan bahawa kelemahan dalam tiga perkara ini bukan sahaja melanda rakyat biasa, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan warga emas tetapi juga dikalangan kakitangan kerajaan dan swasta, pegawai-pegawai tinggi, peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusha muslim, pengubal dasar, malahan dikalangan orang ugama sendiri.

Untuk itu teguran Ikhlas baginda tersebut sepatutnya membuatkan kita insaf akan keadaan diri kita (terutama diri saya sendiri) dalam tiga perkara pokok tersebut.

Kita perlu memuhasabah diri untuk memperbaiki dan memantapkan lagi akidah, membetulkan akhlak dan amalan kita dalam sama-sama memenuhi tuntutan untuk memelihara ugama yang haq ini.

Apabila akidah mantap, sembahyang akan lebih khusuk dan sempurna bukan ala kadar. Bila mengajar dan belajar ilmu ugama dan al-Quran dengan Ikhlas dan bersungguh-sungguh, in sya Allah natijahnya akidah dan akhlak akan lebih baik dan mantap dan dengan memiliki ilmu yang betul dan bukan ala kadar,  in sya Allah natijahnya amalan akan lebih baik dan keunggulan ugama Islam akan lebih terpelihara.

Disebaliknya kalau semua perkara ini dibuat dengan ala kadar setentunyalah hasilnya pun ala kadar sahaja.