HOME

Saturday, December 25, 2021

Renung-renung, bersyukur dan usah bersedih

 Sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang.

 Kita manusia dirahmatiNya dengan berbagai macam nikmat.

 Nikmat kesihatan, keselamatan, nikmat udara untuk bernafas, nikmat air untuk minum, mandi dan cuci, nikmat pakaian, makanan dan bermacam-macam lagi nimkat.

 "...Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya...” (Surah Ibrahim 14: 34)

 Semua disediakan untuk kita umat manusia tetapi kita tetap hidup dalam kejahilan.

 "Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran”. (Surah Luqman 31: 20)

 Allah ciptakan untuk kita telinga, mata dan lidah, serta dua kaki dan dua tangan.

 “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? (Ar Rahman 55: 13)

 Coba bayangkan jika kita berjalan tanpa kaki. Bayangkan kita tidak ada hidung untuk menghidu bau-bauan yang nyaman, masakan yang lazat dan menghidu bauan yang boleh memudaratkan.

Bayangkan betapa nyenyaknya kita tidur di katil yang empuk dan dalam bilek yang berhawa dingin.

Dan coba kita renungkan berapa ramai manusia yang tidak dapat menikmati tidur yang nyenyak seperti kita.

Apakah kita sudah lupa sedang kita menikmati makanan dan minuman yang lazat lagi berkhasiat, berjuta manusia yang lain kelaparan kerana kemiskinan, sakit dan menderita penyakit yang ditimpakan kepada mereka.

Renunglah betapa nikmatnya kita yang mempunyai telinga yang boleh mendengar dan mata yang boleh melihat sedangkan ramai lagi manusia lain yang tidak diberikan nikmat sedemikian.

Renungkanlah betapa nikmatnya kita dapat menggunakan otak untuk kita berfikir sedangkan ramai manusia yang ditimpakan penyakit mental tidak dapat merasakan nikmat sedemikian.

Sungguh betapa tidak ternilai harga nikmat yang Allah berikan. Semua nikmat itu sudah tentu tidak kita mahu ditukarganti dengan wang ringgit atau dengan emas sekalipun.

Tetapi manusia mudah lupa. Ia selalu bersungut, mudah bersedih dan mudah stress apabila hajat tidak kesampaian, apabila apa yang kita inginkan tidak dapat tercapai.

Manusia mudah lupa bahawa Allah sudah menyediakan kunci untuk kita melalui kehidupan yang dirahmatiNya dengan nikmat kebahagian hidup yang melimpah ruah.

Maka renung-renungkanlah dan bersyukurlah kepada Allah yang telah memilih kita untuk dicurahkaNya dengan rahmat nikmat hidup secara FOC.

Semoga dengan kesedaran sedemikian kita dapat melalui kehidupan yang tenang, sejahtera dan bahagia tanpa stress dan perlu depress. Walllahuwalam bisawab.