Dari meja Penasihat…
LIMBARUH HIJAU, MAC 2025: Brunei Darussalam kini berada di persimpangan ekonomi yang mencabar.
Kebergantungan terhadap hasil minyak dan gas selama ini telah membentuk asas kekuatan ekonomi negara.
Namun, dengan ketidaktentuan harga minyak dan keperluan mendesak untuk kepelbagaian ekonomi, masa depan yang lebih lestari harus dirancang.
Persoalannya, adakah kita sudah cukup bersedia menghadapi perubahan ini?
Dalam titah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-41, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei mengakui bahawa usaha mengukuhkan ekonomi negara bukanlah sesuatu yang mudah.
Walaupun terdapat sektor bukan minyak dan gas yang menunjukkan pertumbuhan, impaknya masih belum cukup besar untuk menggantikan kebergantungan terhadap sumber asli.
Ini bermakna cabaran untuk mencapai keseimbangan ekonomi masih berterusan, dan langkah-langkah strategik diperlukan untuk memastikan keberkesanan setiap usaha yang diambil.
Dalam sesi Mesyuarat Majlis Negara, beberapa ahli juga membangkitkan kebimbangan mengenai ketidakseimbangan dalam pembangunan ekonomi negara.
Mereka menegaskan bahawa meskipun terdapat insentif pelaburan, banyak syarikat tempatan masih sukar mendapatkan akses kepada modal dan pasaran antarabangsa.
Selain itu, lambakan pekerja asing dalam beberapa sektor mengakibatkan pengurangan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan, satu isu yang semakin mendapat perhatian dalam perbahasan ekonomi negara.
Jika keadaan ini berterusan, negara berdepan dengan dilema besar: menambah hutang atau mengurangkan perbelanjaan awam.
Kedua-duanya memberi impak langsung kepada rakyat dan memerlukan penyelesaian yang lebih mampan bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara dalam jangka panjang.
Dasar dan Realiti di Lapangan
Langkah mempelbagaikan ekonomi bukanlah sesuatu yang baru. Namun, pertanyaannya, mengapa hasilnya masih belum benar-benar dirasakan oleh rakyat?
Banyak dasar dan strategi telah diperkenalkan, tetapi cabaran masih berterusan dalam pelaksanaannya.
Adakah ia berpunca daripada faktor dalaman atau cabaran di peringkat global?
Dalam sesi Mesyuarat Majlis Negara, beberapa ahli menegaskan bahawa usaha untuk meningkatkan daya saing ekonomi memerlukan pendekatan yang lebih agresif.
Ini termasuk mempercepatkan proses pelesenan perniagaan, mengurangkan kerenah birokrasi, serta memberi lebih banyak insentif kepada pelabur tempatan dan asing.
Sekiranya tidak ada reformasi segera, kita mungkin akan terus melihat kelembapan dalam pertumbuhan sektor bukan minyak dan gas.
Sebagai contoh, seorang pengusaha tempatan yang ingin membangunkan perniagaan teknologi hijau mendakwa bahawa proses mendapatkan lesen perniagaan memakan masa berbulan-bulan.
Selain itu, syarat pembiayaan bank yang ketat menyukarkan syarikat-syarikat baharu untuk berkembang.
Masalah-masalah ini bukan sahaja membebankan usahawan tempatan, malah menghalang pertumbuhan industri yang sepatutnya menjadi tunjang kepada kepelbagaian ekonomi.
Titah KDYMM turut menekankan kepentingan ekonomi digital dan penguasaan teknologi oleh generasi muda.
Dalam dunia yang semakin berkembang ke arah automasi dan kecerdasan buatan, golongan belia perlu dilatih dengan kemahiran yang bersesuaian dengan permintaan pasaran.
Namun, tanpa ekosistem yang menyokong pertumbuhan inovasi dan keusahawanan, peluang yang ada mungkin tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Sementara itu, laporan dari sesi Majlis Mesyuarat Negara juga menunjukkan bahawa sektor pekerjaan mengalami ketidakseimbangan antara peluang yang tersedia dan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Dalam perbahasan, beberapa ahli menekankan bahawa program latihan perlu lebih bersesuaian dengan keperluan industri bagi memastikan rakyat Brunei tidak terus ketinggalan.
Syarikat-syarikat antarabangsa yang melabur di Brunei juga masih memilih untuk menggaji tenaga kerja asing, dengan alasan bahawa tenaga kerja tempatan belum cukup bersedia untuk memenuhi keperluan mereka.
Ini menimbulkan persoalan sama ada sistem pendidikan dan latihan negara telah benar-benar dipacu ke arah melahirkan tenaga kerja yang kompetitif.
Langkah ke Hadapan: Reformasi yang Perlu Diberi Keutamaan
Daripada terus berbicara mengenai cabaran, lebih baik kita mengalihkan tumpuan kepada penyelesaian. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan untuk menggerakkan ekonomi Brunei ke hadapan:
- Mempermudah Proses Pelaburan dan Perniagaan: Pelaburan yang berpotensi harus dipermudahkan dengan dasar mesra pelabur. Pengurangan birokrasi dan sistem yang lebih cekap diperlukan agar Brunei lebih menarik kepada pelabur asing dan tempatan.
- Memperkasa Sektor Berpotensi Tinggi: Industri halal, pelancongan ekologi, ekonomi digital, dan tenaga hijau mempunyai potensi besar. Namun, ia perlu disertai dengan dasar yang lebih proaktif dan bantuan langsung kepada pemain industri bagi memastikan pertumbuhan yang lebih mampan.
- Mengurus Perbelanjaan Negara Secara Strategik: Dalam sesi mesyuarat negara, beberapa ahli mencadangkan agar subsidi diperhalusi dan hanya diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Ini akan membantu mengurangkan perbelanjaan yang tidak produktif serta mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
- Menggalakkan Inovasi dan Keusahawanan dalam Kalangan Belia: Pengangguran dalam kalangan anak muda masih menjadi cabaran yang ketara. Oleh itu, mereka perlu diberikan sokongan yang lebih besar melalui program latihan, akses kepada modal perniagaan, serta bimbingan dalam mengembangkan perniagaan mereka di pasaran yang lebih luas.
Menjadikan Harapan sebagai Realiti
KDYMM mengingatkan bahawa kemerdekaan bukan hanya mengenai kebebasan politik, tetapi juga tanggungjawab terhadap kestabilan dan kemakmuran negara.
Kejayaan ekonomi Brunei tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata, tetapi juga memerlukan penglibatan aktif rakyat, sektor swasta, dan golongan usahawan.
Jika Brunei ingin keluar daripada krisis ekonomi dengan penuh maruah, tindakan harus diambil segera.
Parti Pembangunan Bangsa (NDP) akan terus menyuarakan keperluan rakyat dan menjadi platform untuk cadangan serta idea-idea yang membina bagi memacu kemajuan negara.
Brunei mempunyai kelebihan tersendiri – kekayaan budaya, kestabilan politik, dan sumber daya manusia yang luar biasa.
Namun, kemakmuran tidak akan datang dengan sendirinya tanpa usaha berterusan, keberanian dalam membuat keputusan yang sukar, serta kesediaan untuk bergerak ke hadapan dengan lebih dinamik.
Dengan Wawasan 2035 semakin hampir, rakyat tidak lagi mahu sekadar mendengar janji dan harapan.
Yang mereka inginkan adalah perubahan yang nyata – ekonomi yang berkembang, peluang pekerjaan yang lebih banyak, dan masa depan yang lebih terjamin untuk generasi akan datang. (MHO/03/2025)
Petikan Syair Perlembagaan Al-Marhum Sultan Omar Alli Saiffuddien:
Perundingan negara bukannya mudah,
Hendaklah hati kuat dan tabah,
Supaya maksud tiada berubah,
Negeri dan rakyat dapat faedah.
Ilmu itu pelita hati,
Dapat mengira untung dan rugi,
Senang menduga saudara sebati,
Panduan memilih elok dan keji.
Syair dikarang untukkan zaman,
Yang mana elok buatkan pedoman,
Jadikan perbandingan yang mana tak nyaman,
Jadi sempadan menambah pengalaman.
No comments:
Post a Comment