Tuesday, December 29, 2015

Menyelusuri isu Tamu Kianggeh





Isu pemindahan peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh ke tapak baru di Gadong banyak mendedahkan kelemahan-kelemahan pihak berkuasa dalam mengurus dan mentadbir kemudahan-kemudahan serta kuatkuasa pengawalan muamalah di tamu tersebut.

Dari pemerhatian saya, kebersihan dikawasan tersebut tidak diurus dengan baik. Kemudahan-kemudahan yang disediakan tidak terpelihara. 

Terdapat sebuah bangunan baru yang kononnya dibina untuk kemudahan peniaga-peniaga agar lebih teratur tinggal terbengakali tidak disiapkan. 

Terdapat juga mesin-mesin moden dan canggih untuk melupuskan bahan buangan dengan sempurna tidak digunakan. 

Kata salah seorang peniaga tidak pernah dia melihat mesin itu digunakan dan tidak juga pernah ada inisiatif pihak-pihak tertentu untuk menunjuk ajar bagaimana menggunakanya.

Kawasan pembuangan sampah di Tamu Kianggeh tidak terurus dengan baiknya dan banyak lagi isu-isu pengurusan yang lemah yang dapat dilihat semasa membuat kunjungan ke Tamu Kianggeh.

Dalam hal ini memang mudah untuk mengambing hitamkan penjaja-penjaja dan peniaga-peniaga. 

Tetapi hakikatnya sebagai pihak berkuasa yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir kawasan tamu itu dan dari sudut akauntabiliti, mereka juga mesti dipertanggunjawabkan atas pengabaian kebersihsan, keselamatan dan keselesaan serta kecantikan kawasan tamu tersebut.   

Persoalannya, kalau Tamu Kianggeh pun susah untuk pihak berkenaan mengurus dan mentadbir dengan baiknya, bagaimana kita boleh yakin mereka boleh memberikan perkhidmatan cemerlang di kawasan tamu baru di Gadong?

Kesungguhan pihak berkenaan untuk memindah peniaga-peniaga ke tapak baru sangat mengkagumkan tapi lebih mengkagumkan ialah tindakan mahu menutup mulut mereka agar akur saja dan jangan buat bising. 

Sekarang pintu mereka untuk bersuara dan meluahkan kegelisahan kepada pihak-pihak berkenaan sudah di kabat.

Senario nya mungkin kurang 12 peniaga saja yang terjejas kerana faktor umur, sentimen terhadap warisan sejarah dan budaya serta keupayaan untuk menghadapi perubahan yang mencabar membuatkan mereka tiada pilihan lain selain gulung tikar.

Ikut sifir pihak berkuasa, kepentingan bilangan mereka yang kecil mungkin kurang mustahak dipertimbangkan berbanding kepentingan untuk memajukan kawasan tamu baru terutama projek BND 2.6 juta Tamu Gadong (Berpayung). 

Mungkin saja dalam sifir ini mereka terlepas pandang dari sudut kemanusiaan dan ihsan. 

Mungkin saja mereka terlepas pandang untuk mengambil kira berapa banyak perut yang perlu diberikan makanan setiap hari, kanak-kanak yang bergantung harap dari rezeki pencarian keluarga yang akan tersisih dan warga-warga emas serta ibu tunggal yang bergantung hidup di Tamu Kianggeh dalam arus kemajuan kawasan tamu baru ini? 

Apakah mereka sudah mengambil kira sebilangan kecil yang terjejas ini serta keluarga-keluarga mereka akan jatuh miskin gara-gara tidak lagi berupaya untuk berniaga di Tamu Kianggeh?

Sementara itu menurut maklumat dari sumber-sumber yang sahih pihak berkuasa telah ‘meminta’ kerjasama dari semua media perdana di negara ini agar tidak lagi ‘menyiarkan’ isu peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh. 

Wartawan-wartawan pula diminta agar berkerjasama menjayakan projek pemindahan tersebut dan paling penting membantu menyelamatkan projek Tamu Gadong (Berpayung) yang menelan belanja BND 2.6 juta untuk disiapkan tetapi pernah terbengkalai buat seketika disebabkan perancangan yang lemah. 

Dalam bahasa kasarnya wartawan-wartawan dari media-media perdana yang juga dibawah kawalan mereka sudah di gam dan pena mereka sudah dirantai. 

Mereka tidak lagi berani melaksanakan peranan asas mereka iaitu untuk menegakkan keadilan dan kebenaran, melindungi hak semua pihak untuk didengari suara mereka.

Susah untuk saya memahami kenapa elit-elit pentadbir tidak gemar dan tidak selesa dengan suara-suara peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh. 

Menurut peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh yang ditemui, ditahap membuat perancangan pun mereka yang berkepentingan ini tidak pernah dibawah berunding. 

Mereka baru sekali dipanggil untuk bermuzakarah tentang program untuk memindah mereka ke tapak yang baru, itupun setelah isu mereka disebarkan melalui media-media perdana dan tersebar luas melalui media sosial.

Apa yang dapat dilihat dalam isu Tamu Kianggeh ialah elit-elit pentadbir yang berkenaan gagal dalam memikir dan membuat keputusan yang adil dan berkesan. 

Yang dimaksudkan berkesan itu ialah keberkesanan yang menghasilkan kesan positif bukan negatif, keputusan yang tepat, matang, sesuai dengan masa, persekitaran dan tidak membawa musibah kepada orang-orang yang terlibat terutama apabila ia melibatkan golongan orang berpendapatan rendah. 

Dalam lain perkataan keputusan yang adil ialah keputusan yang tidak mendatangkan kemudaratan kepada semua yang menerima hasil keputusan tersebut. 

Orang yang membuat keputusan berkesan ini akan berpuas hati dengan keputusannya. 

Fikirannya tenang, hatinya jernih dan pandangannya jelas. Ia akan berani berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang hasil keputusan yang dibuat dengan penuh bijaksana. 

Kalau ianya orang Islam ia yakin bahawa perbuatannya itu baik dan diredai Allah. 

Apakah kriteria-kriteria ini terdapat dalam pengurusan isu Tamu Kianggeh? Wallahu wa’alam bisawab! MHO

NOTA: Artikel diatas merupakan pandangan peribadi saya dan tidak mewakili pandangan mana-mana pertubuhan yang saya sertai.

Sunday, May 17, 2015

Titah ajak kita introspeksi diri


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tahun ini sekali lagi menandai sambutan Israk Mekraj dengan titah menekankan pentingnya memelihara ugama yang menurut baginda merupakan tunggak segala kebaikan. 


Ada tiga perkara penting yang digarisbawahkan baginda dalam hal memelihara ugama ini.

Pertama ialah pentingnya menunaikan kewajipan sembahyang lima waktu dengan sempurna, kedua mempelajari ilmu ugama dan Al-Quran dengan bersungguh-sungguh bukannya dengan ala kadar dan ketiga  menentukan dasar dan matlamat yang hendak dituju (kearah memperkukuh ugama), bukan membuat dasar yang melemahkan ugama.

Kenapa tiga perkara ini di tekankan baginda sultan?

Jawapannya jelas iaitu terdapat keperluan yang semakin mendesak untuk mempertingkatkan, memperkukuh dan memperbaiki tiga perkara tersebut yang ada kaitannya dengan akidah, akhlak dan amal umat Islam khususnya di Brunei.

Kalau diamat-amati titah tersebut jelas mengambarkan bahawa kelemahan dalam tiga perkara ini bukan sahaja melanda rakyat biasa, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan warga emas tetapi juga dikalangan kakitangan kerajaan dan swasta, pegawai-pegawai tinggi, peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusha muslim, pengubal dasar, malahan dikalangan orang ugama sendiri.

Untuk itu teguran Ikhlas baginda tersebut sepatutnya membuatkan kita insaf akan keadaan diri kita (terutama diri saya sendiri) dalam tiga perkara pokok tersebut.

Kita perlu memuhasabah diri untuk memperbaiki dan memantapkan lagi akidah, membetulkan akhlak dan amalan kita dalam sama-sama memenuhi tuntutan untuk memelihara ugama yang haq ini.

Apabila akidah mantap, sembahyang akan lebih khusuk dan sempurna bukan ala kadar. Bila mengajar dan belajar ilmu ugama dan al-Quran dengan Ikhlas dan bersungguh-sungguh, in sya Allah natijahnya akidah dan akhlak akan lebih baik dan mantap dan dengan memiliki ilmu yang betul dan bukan ala kadar,  in sya Allah natijahnya amalan akan lebih baik dan keunggulan ugama Islam akan lebih terpelihara.

Disebaliknya kalau semua perkara ini dibuat dengan ala kadar setentunyalah hasilnya pun ala kadar sahaja.

Sunday, June 15, 2014



Saudara Baru Perlukan Bimbingan

Sambil berzikir menghitung-hitung tasbih, si ayah mengusap-usap manja kepala anaknya yang sedang berbaring santai santai disisinya.

Dari jauh saya dapat melihat kegembiraan terpancar dari wajah si ayah yang duduk berzikir disatu sudut mesjid yang menjadi kegemarannya.

Lagi setengah jam masuk waktu Isya.

Saya bangun dari tempat duduk dan terus menuju ketempat mereka.

“Assalamualaikum, How are you brother?” tanya saya sambil mengambil tempat duduk bersama sahabat yang buat sekian lama kami tidak bersua muka.

“Waalaikumsalam, Alhamdullilah,”jawabnya mesra.

Si anak, yang tadinya berbaring, cepat cepat bangun dan bersalam dengan saya.

“He is my son. His name is Hakim. He has just converted to Islam”, ujar sahabat saya memperkenalkan anaknya dengan gembira.

“Mashaallah ! Alhamdullilah! Allahu Akbar! Bila ia masuk Islam?” tanya saya sambil memandang kearah si anak yang baru berusia 15 tahun itu. Saya lantas memegang erat tangan si anak dan mengucapkan tahniah kepadanya.

Dengan senyuman lebar kawan saya yang berketurunan India itu lantas menjawab,“Baru jua. That’s why I am so happy lah brother.”

Si ayah pun sebenarnya sudara baru dalam Islam. Dia memeluk ugama Islam kurang lebih 5 tahun yang lalu. Sebelum itu dia berugama Hindu. Anaknya si Hakim ikut ibunya menganut ugama Katholik.

Selama ini dia tidak pernah pun menceritakan hal ehwal pegangan kepercayaan keluarganya.

“I have been waiting for this moment for my son to willingly embrace Islam. Alhamdullilah, all my prayers answered,” kata kawan saya lagi sambil menambah,”his mother is okay with it. She said he is old enough to decide what is best for him, so it's up to him.”

Katanya lagi Hakim sedang menuntut disalah sebuah sekolah menegah di Miri dan sekarang dalam musim percutian sekolah.

“Iatah during school holidays ani I want him to learn the basic about sembahyang. If you know anyone who can give tuition on ugama for him, please let me know brother”, katanya lagi.

Saya lantas menjawab,“Eh I thought Pusat Dakwah has this 14-day course bimbingan for the saudara baru. Sudah you arrange kah?”

“Sudah arrange and I hope it will be soon, otherwise I have to find another way lah before he balik to Miri,”ujar kawan saya.

“Mudah-mudahan dipermudahkan,” jawab saya sambil fikiran melayang mengingat seorang kawan lagi, iaitu seorang pekerja Indonesia keturunan Cina dari Pontianak yang saya dimaklumkan telah memeluk ugama Islam pada tahun lepas.

Hampir satu tahun sudah berlalu tetapi hingga sekarang katanya belum lagi dipanggil untuk mengikuti kursus bimbingan saudara baru.

Mungkin kerana dia bukan rakyat Brunei dan mungkin peraturan kursus hanya memberikan keutamaan kepada saudara saudara baru yang terdiri dari rakyat dan penduduk tetap Brunei sahaja, fikir saya.


Walaubagaimanapun saya perhatikan kawan Indon, yang mengakui tertarik dengan Islam apabila sering melintas mesjid mesjid di Belait, tidak pernah patah hati untuk menghayati Islam. Dia sering hadir untuk sembahyang berjemaah Maghrib dan Isyak.

Dia juga suka bertanya tentang ugama dan cara cara sembahyang, ibadat puasa dan lain-lain. 

Memang dia perlukan bimbingan tetapi apakan daya, saya hanya dapat memberikan dia buku buku asas tentang ugama dan buku belajar sembahyang kerana menyedari undang-undang tidak membenarkan sesiapa yang tidak bertauliah untuk mengajar agama selain kepada keluarga sendiri.

Peraturan ini (termasuk denda yang boleh dikenakan kepada sesiapa yang didapati bersalah) dengan jelas ditampal dibeberapa tempat strategik diruang dalam masjid sebagai peringatan kepada jemaah jemaah.

Memang satu peraturan yang bagus dalam hal menjaga akidah umat Islam dari dipesongkan oleh orang orang yang coba membawa ajaran sesat dan bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Akan tetapi dari satu sudut yang lain ianya juga semacam penghalang kepada jemaah jemaah untuk melaksanakan tuntutan ‘sampaikanlah walaupun sepotong ayat’.

Ada pun yang berilmu dan bertauliah, mereka pula semacam terlalu sibuk dengan komitmen lain hingga tidak dapat meluangkan banyak masa untuk mengendali kelas kelas bimbingan di mesjid mesjid dan surau surau.

Ada juga kedengaran alasan kekurangan tenaga pengajar, tetapi anehnya ramai juga lepasan Kolej Universiti Perguruan Ugama yang masih menganggur belum ada sebarang pekerjaan.

Entahlah, saya pun sebenarnya bingung jadinya apabila memikirkan keadaan ini.

Rasa sedih bila memikirkan keadaan saudara saudara baru yang sudah mendapat hidayah tetapi keperluan mereka untuk mendapat bimbingan tidak dapat dipenuhi dengan sebaiknya.

Kalau merujuk statistik, memang membanggakan. Dalam ucapan ucapan rasmi dan dalam akhbar akhbar selalu diberigakan tentang jumlah orang orang yang menukar ugama dan pegangan kepercayaan mereka kepada Islam yang semakin bertambah di Brunei. Fakta juga sering ditayangkan untuk menunjukkan bahawa beribu setiap tahun yang telah mengikuti kursus bimbingan selama 14 hari untuk saudara saudara baru.

Setentunya satu gambaran baik dalam perkembangan Islam di Brunei jika dilihat dari sudut angka dan statistik yang menunjukkan garisan graf yang sentiasa menaik. Maka dalam hubungan ini, kalau sekadar dua tiga orang yang tercicir berbanding beribu yang sudah di kursus mungkin saja perkara tersebut dikira kes terlepas pandang.

Walaubagaimanapun, saya berpendapat dalam keghairahan mencatat graf diharap jangan pula kita lupa bahawa saudara saudara baru bukannya semata-mata angka hanya untuk dibangga-banggakan dalam laporan KPI (Key Performance Index) jabatan.

Saya yakin di akhirat nanti Allah tidak akan tanya apa KPI kitani, berapa ramai sudah yang berjaya kita Islamkan, tetapi yang akan disoal nanti ialah apakah kita sudah sampaikan dengan secukupnya dan sebaiknya ilmu ugama kepada semua saudara saudara baru kita? Saya khuatir orang bertauliah mungkin yang dulu kena jawap. Wallahu wa’alam. 

Friday, June 13, 2014


(Nota: Khutbah Jumaat hari ini mengariskan isu tentang kebersihan. Sebelum berangkat ke mesjid saya sudah menyiapkan artikel berikut tetapi tidak sempat untuk dimuat naik. Saya tersenyum bila isu kebersihan dikhutbahkan. Kebetulan atau....)

TANDAS DAN IMAN

Kata orang tua-tua, kalau ingin tahu sama ada pemilik rumah pembersih atau pengotor, subuk tandasnya. 


Ada kawan tabiatnya suka memeriksa tandas dahulu sebelum makan dan minum di mana-mana restoran atau kedai makan. 


Kalau tandas kurang bersih ia akan membatalkan niatnya untuk menjamu selera di restoran berkenaan. Katanya tandas mengambarkan sikap pembersih dan pengotor pemilik dan pekerja restoran.  


Mungkin ada kebenarannya pandangan bahawa tandas itu mecerminkan sikap keprihatinan seseorang mengenai kebersihan manakala tandas awam pula melambangkan peribadi dan sikap masyarakat sesebuah negara.


Tapi bagaimana ceritanya jika bangunan-bangunan agensi kerajaan yang berkuasa untuk menutup restoran dan kedai-kedai makan atas alasan kebersihan dan kesihatan sendiri pula yang memiliki tandas awam yang rosak, kotor dan tidak terurus?


Apa pula ceritanya kalau tandas tandas yang kotor terdapat di mesjid mesjid yang sentiasa mengingatkan umat Islam bahawa kebersihan adalah sebahagian dari iman?


Persoalan ini mengusik jiwa dan fikian saya ketika mahu menggunakan tandas awam disalah sebuah bagunan kerajaan baru-baru ini. 


Keadaan tandas yang rosak dan agak kotor memaksa saya membatalkan saja niat untuk buang air kecil walaupun sudah ‘sangkak ari-ari’. 


Macam macam andaian bermain dalam kepala.


“Mungkin tidak ada bajet untuk membaiki dan mebersihkan tandas ini”, kata hati saya.


“Kalau di kedai makan atau restoran pasti diambil tindakan”, bisik hati saya lagi bila teringat tandas tersebut berada dalam bangunan agensi pemegang dasar dan penguatkuasa peraturan kebersihan tempat awam. 


Fikiran saya melayang ke Daerah Brunei Muara. Nun disana tandas-tandas awam di bangunan bangunan kementerian rata-rata bagus, bersih dan selesa. 


Kenapa? 


Dalam mencari jawapan keatas persoalan tersebut terlintas dalam fikiran tentang etika menggunakan tandas menurut ajaran Islam. 


Antaranya dianjurkan masuk tandas dengan kaki kiri terlebih dahulu, berdoa ketika hendak masuk ke tandas dan juga ketika keluar dari tandas, beristinjak setelah selesai tunai hajat dengan sebersih-bersihnya, dan pastikan tandas dalam keadaan bersih sebelum keluar. 


Pokoknya Islam itu adalah agama yang mementingkan kebersihan. Sabda Rasullulah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:“Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”


Jadinya tidak salah jika kita katakana tandas salah satu tempat yang boleh mengambarkan tahap keimanan seseorang itu. Kerana walaupun ia hanya sekadar tandas, ianya juga dapat mengambarkan adab dan sikap kita dalam menjaga hubungan sesama manusia, hubungan dengan Allah dan juga alam sekitar. Wallahu wa’alam.