Tuesday, September 26, 2017


Selesaikan krisis kemanusiaan Rohingya seadil-adilnya


LIMBARUH HIJAU 26 SEPTEMBER 2017/5 MUHARRAM 1439: Negara Brunei Darussalam tidak dapat menahan untuk terus pejam mata dan mendiamkan diri terhadap kezaliman yang ditimpakan keatas saudara muslim Rohingya di bumi Myanmar.
Brunei Darussalam merupakan satu-satunya negara Islam di Asia Tenggara yang bukan sahaja menjadikan Islam sebagai agama rasmi Negara, malahan menanai dan mengamalkan Islam sebagai cara-cara dan ciri-ciri berbangsa dan bernegara. Dan Brunei selaku anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) setentunya wajar buka mulut tetapi bukan untuk berseteru dan campur tangan tetapi atas prinsip kemanusiaan dan semangat ukhuwah Islamiah.

Makanya Brunei akhirnya terdorong untuk ikut bersama ‘suara sedunia’ meluahkan rasa kesal atas apa yang berlaku di Myanmar.

Menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1439 dari Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, “Brunei Darussalam adalah bersama ‘suara sedunia’ mengesali apa yang berlaku di Myanmar”.

Baginda bertitah meminta pihak berkuasa di negara tersebut “supaya menyelesaikan krisis kemanusiaan ini dengan seadil-adilnya”.

Titah baginda telah dengan cepat disambut dan dijunjung oleh institusi agama dan masyarakat Islam di Brunei. 

Melalui mimbar masjid  Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned melalui khutbah Jumat khas menekankan bahawa isu munkar berupa penindasan ke atas orang-orang Islam Rohingya, ini tidak syak lagi adalah munkar paling dahsyat dan kita orang-orang Islam tidak boleh diam dan pejam mata begitu sahaja kerana Allah murka jika kita diam dan pejam mata.
''Brunei Darussalam adalah tidak pejam mata dan tidak diam.Tetapi malam tadi, ketua kita, raja kita, melalui siaran radio dan televisyen ke seluruh negara telah memberitahu dunia, bahawa Brunei Darussalam adalah bersama-sama 'suara sedunia' mengesali apa yang berlaku di Myanmar dan meminta pihak berkuasa di negara tersebut supaya menyelesaikan krisis kemanusiaan ini dengan seadil-adilnya”. 
“Ini bukan suara seteru, tetapi suara rakan, seorang pemimpin dunia yang prihatin. Inilah suara raja Brunei, satu nasihat ikhlas dari rakan kepada rakan, supaya diakhiri krisis kemanusiaan ini dengan keadilan,'' tambah Yang Berhormat.

Khutbah juga menekankan pentingnya umat Islam mengambil berat terhadap saudara-saudara seketurunan / senasab, maka begitulah juga, kita tidak wajar untuk terlepas pandang terhadap susah senang atau suka duka saudara-saudara kita seagama.

''Persaudaraan seagama ini, saudara! Adalah persaudaraan yang sangat agung di sisi Allah. Kerana itulah, ia dipanggil juga dengan nama 'Ukhuwah Fillah' (persaudaraan kerana Allah),'' tegas Yang Berhormat.

Ukhuwah Fillah (persaudaraan seagama kerana Allah) itu jelasnya, di sinilah hikmah dan harganya persaudaraan seagama. Dan, dengan kacamata inilah kita melihat saudara-saudara kita di Palestin serta dengan kacamata ini juga kita melihat saudara-saudara Islam kita Rohingya atau di mana sahaja di segenap pelusuk dunia ini.

Sembahyang fardhu Jumaat  yang bertepatan dengan 1 Hijrah 1439 itu juga merupakan satu lagi ruang kepada Brunei untuk mengajak seluruh umat Islam di Brunei tunjuk rasa sedih dan kesal atas kezaliman yang ditimpakan keatas saudara-saudara seagama khusunya di Palestine dan di Myanmar dengan ‘bernazilah’.

Sesungguhnya kesengsaraan yang dirasakan oleh mereka (Rohingya) itu turut juga dirasakan oleh masyarakat Islam seluruh dunia. Ibarat satu anggota yang sakit maka bahagian anggota-anggota yang lain pun turut merasainya. Maka atas inilah, kita di Brunei dengan niat suci kerana Allah mengambil inisiatif membaca Qunut Nazilah. Kita ikut Sunnah Nabi membaca doa dalam Qunut Nazilah, untuk memohonkan kepada Allah 'keselamatan' bagi saudara-saudara kita itu.

Sehubungan dengan itu, Parti Pembangunan Bangsa dan seluruh warganya dengan rendah hati menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalaam dengan merakamkan tekad dan kesungguhan Parti Pembangunan dan warganya untuk terus menyokong dan menjunjung titah baginda tersebut.

Syabas dan setinggi-tinggi tahniah juga kepada Yang Berhormat Mufti Kerajaan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned atas penyampaian khutbah khas yang turut menjelaskan pendirian baginda sultan dan negara tentang isu Rohingya di Myanmar.

Parti Pembangunan Bangsa sesungguhnya sangat tersentuh dengan mesej yang terkandung dalam khutbah khas tersebut.

Untuk itu dan dengan niat ikhlas kerana Allah jua dikitar semula petikan kenyataan rasmi NDP yang pernah disiarkan sebelum ini untuk rujukan dan untuk menjelaskan pendirian parti yang mewakili sekelompok masyarakat Islam dan rakyat di Brunei terhadap isu yang sama:

  1. ISU umat Islam Rohingya adalah isu umat Islam sejagat dan juga soal kemanusiaan sejagat
  2. Dalam konteks ini Parti Pembangunan Bangsa (NDP) memandang serius kezaliman yang berlaku di negara Myanmar terhadap masyarakat Islam Rohingya yang telah diseksa dan dibunuh dengan kejamnya
  3. NDP melihat perkara ini sebagai suatu bentuk penghinaan terhadap umat Islam minoriti di negara Myanmar dan pencabulan hak asasi manusia
  4. Dalam konteks ini seluruh warga NDP yang cintakan kedamaian dan membenci segala bentuk keganasan merasa sedih yang mendalam atas tindakan ganas yang tidak berperikamanusiaan yang berterusan ditimpakan keatas puak etnik Rohingya
  5. NDP juga mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan ganas yang mirip ‘pemberishan kaum’ terhadap masyarakat etnik Rohingya yang tidak henti-henti dibantai dan bunuh terutama sekali kanak-kanak yang tidak berdosa, wanita-wanita, orang-orang tua dan pemusnahan kampong halaman mereka

    KENYATAAN RASMI NDP TENTANG ISU ROHINGYA
    http://kopitalkmho.blogspot.com/2016/  

No comments: