Friday, April 17, 2026

Bila Orang Bertanya: Ikhlas Kah Kita Ani?


Tentang hati, niat, dan perjuangan sunyi untuk terus berbuat baik dalam dunia yang sibuk mahu dilihat.


KOPITALK JIWA  |  MALAI HASSAN OTHMAN

Baru-baru ani, ada orang bertanya kepada saya satu soalan yang bunyinya ringkas, tetapi berat apabila sampai ke hati.

 "Ikhlas kah kita ani?"

Saya hanya tersenyum. Bukan pasal soalan atu inda baik. Malah, soalan atu sangat bagus. Tetapi terus terang, saya sendiri pun inda berani menjawabnya dengan yakin.

Kalau ditanya kepada saya, "Kau ani ikhlas kah?" jawapan saya mudah saja: setakat yang saya tahu, yang benar-benar mengetahui sama ada hati kitani ani ikhlas atau inda, hanyalah Allah Yang Maha Mengetahui.

Manusia boleh nampak perbuatan. Manusia boleh mendengar kata-kata. Manusia boleh menilai gaya, air muka, cara bercakap, cara menolong, cara beribadat. Tetapi apa yang benar-benar tersembunyi di dalam hati, apa yang bergerak di sebalik niat, apa yang halus di sebalik amal — itu bukan mudah untuk dilihat. Kadang-kadang orang lain inda nampak. Kadang-kadang kitani sendiri pun inda nampak.

Sebab itulah saya sangat terkesan dengan satu ungkapan yang masyhur, yang sering dinisbahkan kepada Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, bahawa ikhlas itu seperti semut hitam yang berjalan di atas batu hitam, dalam gelap malam.

Bayangkan betapa halusnya. Betapa tersembunyinya. Betapa sukarnya untuk dikesan.

Maknanya, ikhlas ani bukan benda yang mudah untuk dilaung-laungkan. Bukan sesuatu yang mudah untuk diaku. Ia terlalu halus. Sampai kadang-kadang, dalam kitani berbuat baik pun, terselit sedikit keinginan mahu dipuji. Dalam kitani menolong pun, tersimpan sedikit harapan mahu dihargai. Dalam kitani berkorban pun, ada juga rasa kecil di hati bila pengorbanan atu inda dipandang orang.

Itulah manusia.

Sebab itu, bercakap pasal ikhlas ani bukan untuk menunjuk alim, bukan untuk menilai orang lain, dan bukan jua untuk mudah-mudah menghukum siapa ikhlas dan siapa inda. Bercakap pasal ikhlas lebih kepada bercakap pasal perjuangan dalam hati sendiri — perjuangan yang sunyi, perjuangan yang kadang-kadang orang lain inda nampak, perjuangan yang barangkali cuma kitani dengan Allah saja yang tahu.


Dalam hidup seharian, perkataan ikhlas ani memang biasa kitani dengar.

Ada orang berkata, "Buat tah dengan ikhlas." Ada orang menasihati, "Kalau menolong, jangan mengungkit." Ada jua orang yang bila terluka, dipujuk dengan kata-kata, "Sabar saja, ikhlaskan hati."

Bunyi kata-kata ani semuanya baik. Tetapi hakikatnya, ikhlas ani bukan semudah menyebut perkataannya. Mudah di bibir, payah di hati.

Seorang bapa bekerja siang malam untuk keluarga. Seorang ibu bangun awal, tidur akhir, mengurus rumah tangga, melayan anak, menjaga makan minum, menahan penat, menelan risau. Seorang kawan menolong kawannya yang susah. Seorang jiran ringan tulang membantu tanpa banyak bicara. Seorang petugas menjalankan amanah walaupun inda nampak hasilnya serta-merta.

Semua atu nampak baik. Memang baik. Tetapi di celah-celah kebaikan atu, hati manusia tetap diuji.

Kadang-kadang kitani menolong dengan rela, tetapi bila orang yang ditolong inda tahu berterima kasih, hati mula terasa. Kadang-kadang kitani memberi dengan lapang dada, tetapi bila orang lain langsung inda menghargai, timbul sedikit kecewa. Kadang-kadang kitani berbuat sesuatu kerana Allah, tetapi bila orang lain dipuji sedangkan kitani dilupakan, hati mula bertanya-tanya.

Di situlah rupanya ikhlas diuji.

Bukan waktu orang nampak, tetapi waktu orang inda nampak.
Bukan waktu kitani dipuji, tetapi waktu kitani dilupakan.
Bukan waktu semuanya berjalan lancar, tetapi waktu hati merasa penat namun masih memilih untuk berbuat baik.

Sebab itu, saya melihat ikhlas ani bukan sebagai sijil kesempurnaan. Ikhlas bukan pingat yang boleh digantung di dada. Sebaliknya, ikhlas ialah kerja membaiki hati yang inda pernah selesai.

Hari ani kitani rasa sudah lurus niat. Esok datang lagi ujian lain. Hari ani kitani rasa sudah reda. Lusa timbul pula rasa mahu dihargai. Hari ani kitani rasa sudah memberi kerana Allah. Kemudian datang pula bisikan halus yang mahu dipandang orang.

Rupanya, hati ani memang perlu selalu dibersihkan. Sama seperti rumah yang sentiasa berdebu walaupun sudah disapu — ia perlu dijaga, diperiksa, dan dibersihkan berulang kali. Bukan pasal kitani jahat, tetapi pasal begitulah sifat manusia: lemah, mudah berubah, mudah dicelah oleh riya', ujub, dan keinginan halus untuk dipandang baik.


Kerana itulah ikhlas rapat hubungannya dengan iman.

Bila seseorang makin mengenal Allah, makin sedar bahawa hidupnya bergantung sepenuhnya kepada Allah, dan makin faham bahawa Allah melihat apa yang tersembunyi, maka dia akan lebih berhati-hati dengan niatnya. Dia mula sedar bahawa penghargaan manusia ani inda kekal. Pujian manusia inda menambah nilai dirinya di sisi Allah. Cemuhan manusia jua inda mengurangkan apa-apa kalau Allah menerima amalnya.

Di sinilah tenangnya orang yang benar-benar belajar tentang ikhlas — bukan pasal hidupnya tiada masalah, atau pasal dia inda penat. Tetapi pasal tempat bergantungnya bukan lagi sepenuhnya kepada manusia.

Manusia boleh lupa. Manusia boleh salah faham. Manusia boleh memuji hari ani dan mengkritik esok hari. Tetapi Allah tidak pernah lalai. Allah mengetahui apa yang kitani sembunyikan, apa yang kitani lawan dalam hati, dan apa yang kitani cuba betulkan walaupun perlahan-lahan.

Ada yang salah faham tentang ini. Mereka fikir ikhlas ertinya jangan bersuara, jangan terasa, jangan menegur, jangan mempertahankan kebenaran. Padahal ikhlas bukan mematikan jiwa. Ikhlas ialah meluruskan niat ketika melakukan sesuatu. Kitani masih boleh berusaha, masih boleh menegur, masih boleh memperjuangkan yang benar, masih boleh merasa sedih dan kecewa — tetapi semua atu dibawa kembali supaya jangan lari daripada Allah.

Orang yang ikhlas bukan orang yang sudah tiada perasaan. Orang yang ikhlas ialah orang yang sentiasa berusaha supaya perasaannya inda menguasai niatnya.

Dan kadang-kadang, bila hati gelap dan ujian terasa berat, mungkin yang perlu kitani ingat ialah ini: tidak semua yang Allah tangguhkan itu bermakna Dia inda mendengar. Tidak semua yang hilang dari pandangan manusia itu hilang nilainya di sisi-Nya. Mungkin Allah membiarkan amal kitani tidak dilihat orang supaya kitani belajar bahawa nilai sebenar bukan pada tepukan manusia — tetapi pada penerimaan Allah.

Ini memang bukan mudah. Sebab itulah ikhlas bukan teori. Ia latihan seumur hidup.

Ada hari kitani rasa kuat. Ada hari kitani rasa lemah. Ada hari kitani dapat menelan rasa. Ada hari kitani kalah jua dengan hati sendiri.

Tetapi mungkin yang penting bukan untuk cepat-cepat mengaku, "Aku sudah ikhlas."Mungkin yang lebih penting ialah untuk terus bertanya kepada diri sendiri, "Ya Allah, luruskan niatku. Bersihkan hatiku. Jangan biarkan aku membuat sesuatu hanya kerana mahu dipandang manusia."


Pada akhirnya, saya kembali kepada soalan tadi.

"Ikhlas kah kita ani?"

Jawapan saya masih sama.

Saya inda berani mengaku. Saya cuma berharap — berharap supaya dalam apa saja yang saya buat, dalam menulis, dalam bercakap, dalam menolong, dalam beribadat, dalam memikul amanah hidup, ada sedikit ikhlas yang Allah pandang, walaupun kecil, walaupun halus, walaupun inda terlihat oleh sesiapa.

Kerana sesungguhnya, ikhlas itu bukan barang yang bising. Ia kerja sunyi dalam hati.

Dan mungkin, selama kitani masih takut untuk mendakwa diri sudah ikhlas, selama kitani masih mahu memeriksa niat sendiri, dan selama kitani masih mahu kembali kepada Allah untuk membersihkan hati — di situlah terselit harapan bahawa kitani masih berada di jalan yang benar.

Bukan jalan orang yang sempurna, tetapi jalan orang yang terus belajar.

Dalam dunia yang membubut like, followers dan subscribe, mungkin salah satu perjuangan hati yang paling besar hari ani ialah untuk terus berbuat baik — tanpa terlalu haus untuk dilihat manusia.

Kerana tidak semua yang sunyi itu sia-sia. Dan tidak semua yang tidak dipandang orang itu hilang nilainya di sisi Allah.

Semoga Allah mengurniakan kitani hati yang jujur, niat yang lurus, dan amal yang diterima.

Amin.

 


No comments: