Wednesday, February 21, 2018

Pembaharuan Sistem Demokrasi Akar Umbi


Proses Pemilihan Penghulu dan Ketua Kampung Daerah Belait Sedang Berlangsung  

FEBRUARI 21, 2018: Mungkin tidak ramai yang mengetahui atau tidak perasan bahawa proses pemilihan bagi Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung di Daerah Belait sedang dilaksanakan.

Kecuali mereka yang menjadi pelanggan tetap Pelita Brunei. Itu pun kalau mereka terbaca tentangnya yang telah disiarkan diruang iklan pada minggu lepas.
Iklan pencalonan jawatan
Penghulu dan Ketua Kampung Daerah Belait
 
Menurut petugas di Bahagian Institusi Penghulu dan Ketua Kampung di Jabatan Daerah Belait, fotokopi iklan yang sama juga telah disebarluaskan dengan menampal di tempat-tempat strategik di premis-premis perniagaan di Kuala Belait. Tidak pasti sama ada fotokopi iklan yang sama juga turut ditampal di kawasan-kawasan lain yang terlibat seperti di Mukim Seria, Sukang, Bukit Sawat, Labi dan Melilas.

Dalam ruang iklan tersebut telah dihebahkan bahawa ‘Pencalonan Bagi Mengisikan Jawatan Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Belait’ telah mula dibukakan.

Dinyatakan bahawa penduduk-penduduk yang bermastautin di mukim-mukim dan kampung-kampung yang terlibat adalah dipelawa untuk mengahadapkan pencalonan mereka kepada Bahagian Institusi Penghulu dan Kampung sebelum 15 Mac 2018 ini.

Menurut maklumat yang terdapat dalam iklan tersebut, sebanyak 4 jawatan Penghulu yang dibukakan melibatkan kawasan-kawasan seperti berikut: Mukim Kuala Belait, Mukim Seria, Mukim Sukang, Mukim Bukit Sawat dan Mukim Melilas.

Manakala 14 jawatan Ketua Kampung dibukakan untuk kawasan-kawasan berikut: Kampung Mumong A dan B, Kampung Pandan A, B dan C, Kampung Sungai Teraban, Kampung Pekan Seria, Kampung Perancangan Perumahan Negara Lorong Tengah, Kampung Sungai Liang, Kampung Lumut l dan ll, Kampung Perancangan Perumahan Negara Kampung Lumut Mukim Liang, Kampung Bukit Sawat dan Kampung Merangking.

Apa yang lebih menarik ialah iklan yang baru disiarkan berbeza dari yang sudah-sudah. Pada masa lalu, ianya diiklankan sebagai jawatan kosong dan mempelawa sesiapa yang berminat untuk mengisikan jawatan tersebut.

Kini, penduduk-penduduk di Mukim-Mukim dan Kampung-Kampung yang berkenaan dipelawa untuk mencadangkan calon bagi jawatan Penghulu atau Ketua Kampong masing-masing.
Fotokopi iklan yang ditampalkan di dinding pintu masuk
ke Bahagian Institusi Penghulu dan Ketua Kampung
Jabatan Daerah Belait
Menurut petugas di Jabatan Daerah Belait, format baru ini diperkenalkan di bawah Skim Perkhidmatan Penghulu dan Ketua Kampung tahun 2013 bermula 1 April 2015 bagi menggantikan Skim Tahun 1998.
Skim baharu ini diperkenalkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Baginda Sultan juga telah memperkenankan langkah mengemaskan pendaftaran pengundi dan tatacara pengundian bagi pemilihan Penghulu dan Ketua Kampung.
Dalam langkah ini pendaftaran dan daftar pengundi di setiap kampong akan dikemaskan setiap enam atau 12 bulan; pengundi-pengundi yang berdaftar akan diberikan surat jemputan untuk hadir ke Majlis Pemilihan dan Pengundian Calon; dan Pengundian dan Pemilihan Ketua Kampung hanya dikira sah jika dihadiri yakni disertai oleh tidak kurang 1/3 dari jumlah pengundi berdaftar di kampung berkenaan. Dan pengemasan ini akan sama digunakan bagi peringkat mukim untuk pengundian dan pemilihan Penghulu Mukim.
Perkembangan ini setentunya sangat menarik bagi pemerhati-pemerhati politik tanah air.
Kalau tidak keterlaluan dapat diandaikan bahawa langkah untuk menyerapkan elemen-elemen penting dalam sistem demokrasi akar umbi ini, iaitu seperti proses penamaan calon, saringan kelayakan calon untuk bertanding dan pengundian calon semacam satu langkah awal mempersiapkan rakyat dan penduduk bagi sistem pilihan raya peringkat nasional.
Kemungkinan langkah awal ini sebagai satu latihan dan kajian, wa’allah wa’alam.  Kita lihat dan tunggu. Oleh itu, sambil kita melihat dan tunggu maka ada baiknya kita ikut serta merayakannya.
Hal ini kerana, menurut penjelasan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negri, tujuan utama Skim Perkhidmatan baharu termasuk sistem pemilihan yang diperkenalkan ini adalah bagi mempertingkat, memperkukuh dan memantapkan lagi kewibawaan, mutu atau kualiti kepimpinan serta keberkesanan Institusi Penghulu dan Ketua Kampung sebagai teras kepimpinan akar umbi.
Poster menunjukkan jumlah penduduk dibeberapa mukim di daerah Belait. 
KHEDN berharap melalui skim baharu ini ianya akan dapat memupuk semangat kewarganegaraan yang baik dalam mendukung kepimpinan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Skim baharu ini juga diharapkan akan dapat menjamin kepimpinan yang bermutu lagi di peringkat akar umbi.

Di bawah skim baharu ini Penghulu Mukim dan Ketua Kampung yang baru dilantik akan berkhidmat selama 10 tahun, dan itu pun tertakluk kepada penilaian prestasi bagi perkhidmatan lima tahun pertama.

Dan setelah 10 tahun itu, pelantikan semula adalah melalui proses pencalonan dan pengundian yang diadakan. Jika terpilih barulah akan dilantik untuk tempoh lima-lima tahun sehingga mencapai umur 70 Tahun.

Dalam erti kata lain, prestasi seorang Ketua Kampung dan Penghulu Mukim tidak sahaja akan dinilai oleh pegawai daerah malahan penduduk kampung dan mukimnya juga akan berperanan menentukan sama ada Penghulu dan Ketua Kampung masing-masing layak meneruskan perkhidmatan setelah 10 Tahun.

Penduduk kampung dan mukim pula akan mempunyai pilihan antara Ketua Kampung dan Penghulu Mukim yang telah diketahui tahap prestasi dan mutu kepimpinan masing-masing dengan calon atau calon-calon baharu yang mungkin lebih berkelayakan serta berkebolehan memberikan kepimpinan peringkat akar umbi yang berkesan.

Semoga pembaharuan sistem politik akar umbi ini akan terus diperbaiki dan dikembangkan ke peringkat nasional contohnya dalam pemilihan perwakilan rakyat di Majlis Mesyuarat Negara.  

Friday, February 16, 2018

MIB the way forward – Friday sermon


FEBRUARY 16, 2018: Progress of a country is not all about economic strength, tall buildings and so on and so forth, but its people, according to khatibs nationwide in their Friday sermon.

“The progress of a country is not measured solely in terms of economic strength, skyscrapers and the like. Instead progress also comes about through a just ruler and a believing and pious people who hold fast to the teaching of the Quran and Sunnah”.

“Know that a country’s progress will be meaningless when its people live without guidance and in neglect of the teachings of Islam”, said the khatibs.

The Friday sermon today underlines that Negara Brunei Darussalam is a country underpinned by the concept of Malay Islamic Monarchy (Melayu Islam Beraja, MIB).

MIB concept places great importance on religious values and prioritises Islamic teachings and laws in shaping the foundation of administration, management and legislation according to the Qur’an and Sunnah of the Prophet sallallahu alaihi wa sallam.

“In this way, the country will enjoy peace and prosperity with the support of its believing and pious citizens”, said the khatibs.

Caj Minima Perkhidmatan Profesional Sedang Dibuat


Caj Minima Perkhidmatan Profesional Sedang Dibuat

Berita baik bagi pemilik tanah dan rumah yang selama ini merungut kerana terpaksa membayar harga tinggi untuk proses memajukan tanah dan membina rumah. Buat masa ini tidak ada kawalan atas yuran perkhidmatan profesional yang dikenakan oleh Arkitek, Jurutera dan juruukur tanah.

Skala yuran mengikut pertimbangan pakar-pakar berkenaan dan ini menjadi rungutan kepada pemilik tanah dan rumah yang mendapati ianya terlalu mahal dan meningkatkan kos sehingga keluar dari kemampuan mereka.
Dulunya masalah ini tidak timbul. Ia mula menjadi isu apabila Kementerian Pembangunan pada May 2010 memperkenalkan Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) bagi tujuan memastikan aktiviti-aktiviti dalam industri pembinaan di negara ini selamat dan berkualiti mengikut piawaian yang telah ditentukan.
ABCi juga ditubuhakan bagi memudahcara proses pembinaan bangunan dan tanah dengan menyelaraskan fungsi dan bidang tugas agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam kawalan pembangunan dalam industri pembinaan.
Langkah kehadapan kementerian ini telah berhasil mengurangkan aktiviti-aktiviti yang kurang selamat seperti mengunakan khidmat arkitek, jurutera dan kontraktor yang tidak berdaftar. Namun demikian dalam masa sama ia membuka ruang kepada sebilangan profesional untuk mengambil kesempatan dengan mengenakan caj khidmat yang sangat tinggi.    
Caj khidmat profesional yang sangat tinggi ini membuat ramai pengguna bersungut dan akhirnya Kementerian Pembangunan mengambil maklum tentang perkara ini, itu pun setelah ianya menjadi tular di media sosial.
Pihak Kementerian Pembangunan dalam kenyataan akhbar bertarikh 15 Februari 2018 menyatakan bahawa pihaknya sentiasa bersedia berkhidmat dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugas yang diamanahkan untuk memastikan Negara Brunei Darussalam menikmati kehidupan yang berkualiti, pembangunan berdaya tahan yang berterusan dan makmur kearah menjayakan wawasan 2035.
Berhubung sungutan tentang caj perkhidmatan profesional, Kementerian Pembangunan menjelaskan ianya sedang menggubal garis panduan Scale of Fees yang melibatkan Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan.
Menurut kementerian berkenaan garis panduan tersebut akan mengandungi yuran peratusan yang akan diberigakan kepada orang ramai. Oleh itu, Arkitek atau Jurutera Profesional boleh bersaing harga dalam lingkungan skala minima untuk memastikan Arkitek atau Jurutera Profesional boleh menyediakan perkhidmatan dengan profesional dan mengikut undang-undang yang sedia ada.
Garis panduan ini akan mengelakkan Arkitek atau Jurutera Profesional daripada mengenakan kadar bayaran yang berlebihan kepada klien, jelas kementerian tersebut.
Berikut maklumat lengkap dalam siaran akhbar tersebut untuk pengetahuan pemilik-pemilik rumah dan tanah:

ISU TULAR MENGENAI PERKHIDMATAN DI KEMENTERIAN PEMBANGUNAN 
 
Berikutan dengan penyebaran isu mengenai perkhidmatan Kementerian Pembangunan yang tular di media sosial Facebook dan Whatsapp baru-baru ini, Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan bahawa kementerian ini sentiasa bersedia berkhidmat dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugas yang diamanahkan untuk memastikan Negara Brunei Darussalam menikmati kehidupan yang berkualiti, pembangunan berdaya tahan yang berterusan dan makmur kearah menjayakan wawasan 2035.

Bagi membentuk dan mengawal industri pembinaan, Kementerian Pembangunan sentiasa berpandukan undang-undang dan peraturan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.

Pihak Kementerian Pembangunan ingin mengucapkan terima kasih atas perkaraperkara yang telah diutarakan.

Secara ringkas, kementerian ini ingin menjelaskan perkara-perkara yang ditimbulkan seperti berikut:
 
  • Semua kerja-kerja tanah atau pembinaan rumah persendirian adalah ditanggung oleh tuan punya tanah sendiri kecuali bagi rumah bantuan golongan daif, rumah bantuan Yayasan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM). 
  • Pihak Kementerian Pembangunan sedang menggubal garis panduan Scale of Fees yang melibatkan Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan. Garis panduan tersebut akan mengandungi yuran peratusan yang akan diberigakan kepada orang ramai. Oleh itu, Arkitek atau Jurutera Profesional boleh bersaing harga dalam lingkungan skala minima untuk memastikan Arkitek atau Jurutera Profesional boleh menyediakan perkhidmatan dengan profesional dan mengikut undang-undang yang sedia ada. Garis panduan ini akan mengelakkan Arkitek atau Jurutera Profesional daripada mengenakan kadar bayaran yang berlebihan kepada klien.
  • Pemilik tanah/rumah adalah bebas untuk memilih Arkitek atau Jurutera Profesional yang berdaftar dan mendapatkan beberapa harga terlebih dahulu sebelum bersetuju melantik Arkitek atau Jurutera Profesional yang akan bertanggungjawab bagi urusan pembinaan rumah dari peringkat awal penyediaan pelan-pelan lukisan sehingga kesiapan rumah.
  • Arkitek atau Jurutera Profesional yang dilantik adalah bertanggungjawab bagi memberikan khidmat nasihat yang berkaitan dengan rumah/bangunan, aliran longkang, elektrik dan air termasuk juga harga-harga tambahan yang akan ditanggung oleh tuan rumah/Tanah.
  • Dalam hal merekabentuk dan pembinaan rumah/bangunan, aspek keselamatan tidak dapat diambil ringan. Arkitek atau Jurutera Profesional yang dilantik hendaklah memastikan pelan-pelan lukisan mengikut undangundang dan garis pandu yang sedia ada terutamanya bila membangun rumah/bangunan di tempat yang berbukit atau tidak rata.
  • Kementerian Pembangunan menjalankan pemeriksaan ke atas rumah/bangunan yang telah siap dibina bagi memastikan keselamatan dan bangunan dibina mengikut pelan-pelan yang telah diluluskan. Perubahan kepada pelan yang telah diluluskan boleh melambatkan proses pengeluaran kebenaran Kesiapan Kemajuan (OP) dan juga penyambungan elektrik dan air.
  • Bagi kejadian tanah, rumah atau bangunan runtuh, agensi yang dapat memberi bantuan adalah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) yang terdiri daripada pihak Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan serta agensi-agensi yang berkaitan.
  • Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) adalah pertubuhan bukan kerajaan yang telah banyak memberikan sumbangan dalam membangun profesionalisma Arkitek, Jurutera dan Juruukur di Negara Brunei Darussalam.
     
Sebarang pertanyaan, sila hubungi Unit Perhubungan Awam, Kementerian Pembangunan di talian 2383222 atau melalui emel info@mod.gov.bn.
Disediakan dan dikeluarkan oleh: Kementerian Pembangunan Negara Brunei Darussalam
Khamis, 29 Jamadilawal 1439H bersamaan 15 Februari 2018M

Monday, October 23, 2017


Alam Siber Hangat Bincang Tren Swafoto Sama Raja

Berswafoto bersama KDYMM Baginda Sultan 
23 OKTOBER 2017: PERWATAKAN Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai seorang Raja yang pemedulian dan mesra rakyat sangat menyerlah di  acara bersejarah perasmian Taman Mahkota Jubli Emas. 
Gambar hiasan: Tren baru di era teknologi serba canggih.
Budaya awar galat melalui ujian. 
Turut menyerlah ‘keulahan’ segelintir masyarakat terutama dari golongan generasi baru yang berebut peluang keemasan untuk berswafoto bersama Baginda.

Hampir dua jam Baginda menelusuri laluan menuju ke pelantar acara perasmian yang dijanjari ribuan penduduk dan rakyat yang menghulur tangan untuk bersalaman dengan Raja yang disayangi. Baginda dengan mesra menjawat salam kasih rakyat dan dengan senyuman menyantuni hasrat rakyat yang dikasihi untuk berswafoto dengan Baginda, satu tren baru yang membuatkan golongan konservatif resah gelisah.

Keresahan ini dapat dirasai di alam siber yang ketika ini hangat membincangkan tren baru tersebut. Dipaparkan disini potongan dan tampalan perbincangan tersebut untuk renungan bersama.






Sunday, October 1, 2017


Cabaran Meningkatkan Daya Saing Brunei 


29 SEPTEMBER 2017: TIGA FAKTOR UTAMA yang menjadi gendala bagi ekonomi Negara Brunei untuk lebih berdaya saing; pertama akses kepada kewangan yang terhad; kedua, karenah birokrasi kerajaan; dan ketiga etika tenaga buruh nasional. 

Ketiga-tiga bidang in perlu penambahbaikan jika Brunei ingin dinaikan ke darjah yang lebih tinggi dalam kelas daya saing global, kalau pun tidak sedarjah sekurang-kurangnya standing dengan negara-negara yang lebih hebat dan cemerlang daya saing ekonomi nya di arena serantau dan antarabangsa.

Negara-negara yang menduduki tangga ke-10 teratas tahun ini adalah Switzerland, Amerika Syarikat, Singapura, Netherlands, Jerman, Hong Kong, Sweden, United Kingdom, Jepun dan Finland.




Brunei secara keseluruhan, menurut kajian terkini World Economic Forum (WEF) Global Competitiveness, adalah lebih berdaya saing berbanding tahun sebelumnya.

Kajian tersebut merupakan penilaian daya saing (competitiveness) utama di dunia terhadap 12 teras (pillars) yang merangkumi konsep untuk produktiviti dan kemakmuran jangka panjang (long-term prosperity) seperti institusi, infrastruktur, iklim makro-ekonomik, kesihatan, pendidikan, perkembangan teknologi, sumber tenaga pekerja dan lain-lain.

Tahun lalu Brunei menduduki tangga ke 58 daripada 137 ekonomi dunia. Brunei tahun ini naik 12 anak tangga iaitu naik ke anak tangga ke 48. Dari segi markah, Brunei mencapai jumlah markah sebanyak 4.5 daripada 7 markah penuh, menurut Global Competitiveness Report 2017-2018 yang diterbitkan oleh WEF.


Laporan tersebut juga menunjukkan bahawa Negara Brunei Darussalam adalah ekonomi yang paling meningkat di kalangan negara-negara ASEAN. Negara Brunei Darussalam kini menduduki tangga ke-5 teratas di rantau ASEAN didahului oleh Republik Singapura, Malaysia, Thailand dan Indonesia.


Namun demikian lebih banyak lagi usaha dan kesungguhan diperlukan bagi memperbaiki iklim perniagaan di negara ini.

Seperti yang dilaporkan, akses kepada kewangan perlu perhatian dan tindakan pihak-pihak berwajib termasuklah pelaku-pelaku dalam industri perbankan di negara ini.

Isu ini melibatkan banyak aspek antaranya ialah kemudahan yang terhad bagi pengusaha-pengusaha untuk mendapatkan pinjaman bank; industri perbankan yang agak kecil; Kos perkhidmatan perbankan yang agak tinggi dan karenah pita merah (red tape) dalam berurusan dengan bank di negara ini.

Selain itu menurut kajian, bank-bank yang beroperasi di Negara Brunei lebih suka berurusan dengan pelanggan-pelanggan persendirian dari berurusan dengan syarikat-syarikat.

Makanya kita sering mendengar rungutan dikalangan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana betapa susahnya untuk mendapatkan pinjaman bank dalam usaha membangunkan perniagaan mereka.

Sementara itu iklim perniagaan juga turut terjejas oleh isu birokrasi sektor awam yang sering melunturkan minat dan semangat pengusaha-pengusaha tempatan untuk terus berkembang maju dan turut mematahkan semangat pelabur-pelabur asing untuk berurusniaga dengan Brunei. Ini ditambah buruk lagi dengan etika tenaga buruh nasional yang kurang menyenangkan, seperti suasana kerja yang kurang kondusif, etika pekerja yang rendah, tidak bermotivasi, budaya kerja yang kurang sihat terutama di sektor awam, hubungan kurang baik antara majikan dan pekerja, kurang insentif, yang mana semua ini menjejaskan produktiviti.

Walaubagaimanapun Jabatan Tenaga dan Perindustrian Jabatan Perdana Menteri menilai  peningkatan kedudukan negara dalam laporan tersebut menunjukkan bahawa sentimen perniagaan di negara ini menuju ke arah yang positif dan sejajar dengan usaha-usaha komprehensif ke arah mendukung iklim pro-business yang telahpun disambut baik oleh pihak Bank Dunia seperti yang dilaporkan dalam Laporan Doing Business 2017 tahun lalu.

Dalam satu  kenyataan akhbar jabatan tersebut menyatakan bahawa, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, melalui Jawatankuasa Pandu Ease of Doing Business, sedang giat menerajui usaha reformasi bagi mempermudah cara kecekapan proses-proses kerajaan, memastikan kos yang kompetitif dalam menjalankan perniagaan dan penyelarasan perundangan yang seimbang dengan amalan terbaik antarabangsa.

Beberapa inisiatif juga dijalankan yang lebih menumpukan bagi mempermudahkan kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Negara Brunei Darussalam dengan penubuhan FDI Action Support Centre yang bertanggungjawab untuk memproses FDI secara 'fast-track' dan penyelarasan bersama agensi-agensi pelaburan yang berkaitan.

Inisiatif-inisiatif tersebut telah meningkatkan keyakinan negara sebagai destinasi untuk pelaburan dengan influx FDI yang tinggi dari berbagai sektor. Satu contoh ialah, komitmen Hengyi Industries yang bernilai AS$12 bilion untuk mengembangkan fasa kedua projek petrokimia di Pulau Muara Besar (PMB), menjadikan projek pelaburan luar Hengyi yang terbesar.

Negara melihat peningkatan iklim perniagaan merupakan asas utama dalam meningkatkan tahap daya saing negara bagi memupuk trajektori pertumbuhan ekonomi selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Ke arah ini, kerjasama erat di antara pihak kerajaan dengan sektor swasta adalah kunci utama kepada kejayaan dalam merangsang perkembangan di dalam sektor bukan minyak dan gas. Dengan penilaian terhadap 12 teras (pillars) di dalam Laporan Global Competitiveness, Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 akan terus giat memantau kedudukan negara dan menjadikan laporan ini sebagai 'baseline' kebangsaan dalam mengenal pasti tahap daya saing dan mercu ke arah meningkatkan fokus untuk mendorong perkembangan sosioekonomi dijangka masa panjang.

Sebagai salah satu persediaan bagi laporan tahun ini, WEF dan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri menjalankan Kajian Global Competitiveness iaitu Executive Opinion Survey pada bulan Mac sehingga bulan Mei tahun ini.

Dalam laporan tahun ini, peningkatan penyertaan daripada sektor swasta dapat dirasai dengan penglibatan daripada Syarikat Pelabur Asing (FDI), Syarikat-Syarikat Milik Kerajaan (GLC) serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEs) yang meliputi beberapa sektor seperti minyak dan gas, pertanian, perdagangan, logistik dan perhubungan.

Tuesday, September 26, 2017


Selesaikan krisis kemanusiaan Rohingya seadil-adilnya


LIMBARUH HIJAU 26 SEPTEMBER 2017/5 MUHARRAM 1439: Negara Brunei Darussalam tidak dapat menahan untuk terus pejam mata dan mendiamkan diri terhadap kezaliman yang ditimpakan keatas saudara muslim Rohingya di bumi Myanmar.
Brunei Darussalam merupakan satu-satunya negara Islam di Asia Tenggara yang bukan sahaja menjadikan Islam sebagai agama rasmi Negara, malahan menanai dan mengamalkan Islam sebagai cara-cara dan ciri-ciri berbangsa dan bernegara. Dan Brunei selaku anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) setentunya wajar buka mulut tetapi bukan untuk berseteru dan campur tangan tetapi atas prinsip kemanusiaan dan semangat ukhuwah Islamiah.

Makanya Brunei akhirnya terdorong untuk ikut bersama ‘suara sedunia’ meluahkan rasa kesal atas apa yang berlaku di Myanmar.

Menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1439 dari Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, “Brunei Darussalam adalah bersama ‘suara sedunia’ mengesali apa yang berlaku di Myanmar”.

Baginda bertitah meminta pihak berkuasa di negara tersebut “supaya menyelesaikan krisis kemanusiaan ini dengan seadil-adilnya”.

Titah baginda telah dengan cepat disambut dan dijunjung oleh institusi agama dan masyarakat Islam di Brunei. 

Melalui mimbar masjid  Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned melalui khutbah Jumat khas menekankan bahawa isu munkar berupa penindasan ke atas orang-orang Islam Rohingya, ini tidak syak lagi adalah munkar paling dahsyat dan kita orang-orang Islam tidak boleh diam dan pejam mata begitu sahaja kerana Allah murka jika kita diam dan pejam mata.
''Brunei Darussalam adalah tidak pejam mata dan tidak diam.Tetapi malam tadi, ketua kita, raja kita, melalui siaran radio dan televisyen ke seluruh negara telah memberitahu dunia, bahawa Brunei Darussalam adalah bersama-sama 'suara sedunia' mengesali apa yang berlaku di Myanmar dan meminta pihak berkuasa di negara tersebut supaya menyelesaikan krisis kemanusiaan ini dengan seadil-adilnya”. 
“Ini bukan suara seteru, tetapi suara rakan, seorang pemimpin dunia yang prihatin. Inilah suara raja Brunei, satu nasihat ikhlas dari rakan kepada rakan, supaya diakhiri krisis kemanusiaan ini dengan keadilan,'' tambah Yang Berhormat.

Khutbah juga menekankan pentingnya umat Islam mengambil berat terhadap saudara-saudara seketurunan / senasab, maka begitulah juga, kita tidak wajar untuk terlepas pandang terhadap susah senang atau suka duka saudara-saudara kita seagama.

''Persaudaraan seagama ini, saudara! Adalah persaudaraan yang sangat agung di sisi Allah. Kerana itulah, ia dipanggil juga dengan nama 'Ukhuwah Fillah' (persaudaraan kerana Allah),'' tegas Yang Berhormat.

Ukhuwah Fillah (persaudaraan seagama kerana Allah) itu jelasnya, di sinilah hikmah dan harganya persaudaraan seagama. Dan, dengan kacamata inilah kita melihat saudara-saudara kita di Palestin serta dengan kacamata ini juga kita melihat saudara-saudara Islam kita Rohingya atau di mana sahaja di segenap pelusuk dunia ini.

Sembahyang fardhu Jumaat  yang bertepatan dengan 1 Hijrah 1439 itu juga merupakan satu lagi ruang kepada Brunei untuk mengajak seluruh umat Islam di Brunei tunjuk rasa sedih dan kesal atas kezaliman yang ditimpakan keatas saudara-saudara seagama khusunya di Palestine dan di Myanmar dengan ‘bernazilah’.

Sesungguhnya kesengsaraan yang dirasakan oleh mereka (Rohingya) itu turut juga dirasakan oleh masyarakat Islam seluruh dunia. Ibarat satu anggota yang sakit maka bahagian anggota-anggota yang lain pun turut merasainya. Maka atas inilah, kita di Brunei dengan niat suci kerana Allah mengambil inisiatif membaca Qunut Nazilah. Kita ikut Sunnah Nabi membaca doa dalam Qunut Nazilah, untuk memohonkan kepada Allah 'keselamatan' bagi saudara-saudara kita itu.

Sehubungan dengan itu, Parti Pembangunan Bangsa dan seluruh warganya dengan rendah hati menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalaam dengan merakamkan tekad dan kesungguhan Parti Pembangunan dan warganya untuk terus menyokong dan menjunjung titah baginda tersebut.

Syabas dan setinggi-tinggi tahniah juga kepada Yang Berhormat Mufti Kerajaan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned atas penyampaian khutbah khas yang turut menjelaskan pendirian baginda sultan dan negara tentang isu Rohingya di Myanmar.

Parti Pembangunan Bangsa sesungguhnya sangat tersentuh dengan mesej yang terkandung dalam khutbah khas tersebut.

Untuk itu dan dengan niat ikhlas kerana Allah jua dikitar semula petikan kenyataan rasmi NDP yang pernah disiarkan sebelum ini untuk rujukan dan untuk menjelaskan pendirian parti yang mewakili sekelompok masyarakat Islam dan rakyat di Brunei terhadap isu yang sama:

  1. ISU umat Islam Rohingya adalah isu umat Islam sejagat dan juga soal kemanusiaan sejagat
  2. Dalam konteks ini Parti Pembangunan Bangsa (NDP) memandang serius kezaliman yang berlaku di negara Myanmar terhadap masyarakat Islam Rohingya yang telah diseksa dan dibunuh dengan kejamnya
  3. NDP melihat perkara ini sebagai suatu bentuk penghinaan terhadap umat Islam minoriti di negara Myanmar dan pencabulan hak asasi manusia
  4. Dalam konteks ini seluruh warga NDP yang cintakan kedamaian dan membenci segala bentuk keganasan merasa sedih yang mendalam atas tindakan ganas yang tidak berperikamanusiaan yang berterusan ditimpakan keatas puak etnik Rohingya
  5. NDP juga mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan ganas yang mirip ‘pemberishan kaum’ terhadap masyarakat etnik Rohingya yang tidak henti-henti dibantai dan bunuh terutama sekali kanak-kanak yang tidak berdosa, wanita-wanita, orang-orang tua dan pemusnahan kampong halaman mereka

    KENYATAAN RASMI NDP TENTANG ISU ROHINGYA
    http://kopitalkmho.blogspot.com/2016/  

Thursday, August 24, 2017

Untuk renungan bersama di pagi Jumaat yang mulia....artikel berikut dikirimkan kepada saya melalui email. Dikongsikan disni mudah-mudahan ada pelajaran didalamn...ya terutama untuk diri saya...amin

Orang Ikhlas Itu Tertindas?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.
"Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini," kata seorang kakak berterus-terang.

"Mengapa?" balas saya.

"Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja."

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, "kakak punya berapa orang anak?"

Sengaja saya bertanya soal-soal 'di luar kotak' agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.

"Oh ramai encik"

"Bagaimana dengan anak-anak kakak?"

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

"Kakak, boleh saya bertanya?"

"Tanyalah encik" ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

"Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang 'menjadi' dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?"

Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, "antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?"

Dengan cepat kakak itu menjawab, "hati ibu encik, tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!"
Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.

"Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran" kata saya perlahan. Hampir berbisik.

"Maksud encik?"

"Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi."

"Tidak pernah saya terfikir begitu encik"

"Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah."

"Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?"

"Maksud kakak?"

"Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?"

"Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!"

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

"Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita"

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.

"Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?"

Kakak itu tersenyum dan berkata, "tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya."

"Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?"

"Pasti ada! Insya-Allah."

"Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita. Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi."

"Subhanallah!"

"Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini."

"Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?" tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

"Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!"

"Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat."

"Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi."

"Maksud encik?"

"Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan."

"Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!"

Giliran saya pula tersenyum.

"Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back.

Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!" terang saya panjang lebar.

"Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?"

"Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our CEO, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan"

"Maksud encik?"

"Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya."

"Kenapa?"

"Kita akan sakit jiwa!"

"Kenapa?"

Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur, balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

"Tetapi Allah tidak berhenti memberi" kata kakak itu perlahan.

Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi. Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?

"Ah, kita terlalu ego"

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa "diperingatkan" semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan orang ikhlas tertindas?

Friday, November 25, 2016




KENYATAAN RASMI PARTI PEMBANGUNAN BAGSA



NDP KUTUK KEZALIMAN YANG DITIMPAKAN KEATAS UMAT ISLAM ROHINGYA




  1. ISU umat Islam Rohingya adalah isu umat Islam sejagat dan juga soal kemanusiaan sejagat
  2. Dalam konteks ini Parti Pembangunan Bangsa (NDP) memandang serius kezaliman yang berlaku di negara Myanmar terhadap masyarakat Islam Rohingya yang telah diseksa dan dibunuh dengan kejamnya
  3. NDP melihat perkara ini sebagai suatu bentuk penghinaan terhadap umat Islam minoriti di negara Myanmar dan pencabulan hak asasi manusia
  4. Dalam konteks ini seluruh warga NDP yang cintakan kedamaian dan membenci segala bentuk keganasan merasa sedih yang mendalam atas tindakan ganas yang tidak berperikamanusiaan yang berterusan ditimpakan keatas puak etnik Rohingya
  5. NDP juga mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan ganas yang mirip ‘pemberishan kaum’ terhadap masyarakat etnik Rohingya yang tidak henti-henti dibantai dan dibunuh terutama sekali kanak-kanak yang tidak berdosa, wanita-wanita, orang-orang tua dan pemusnahan kampong halaman mereka
  6. Dalam perkara ini NDP berasa sangat kesal kerana ASEAN dan pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa yang lain seperti OIC dan PBB seolah-olah tidak berapa mengambil berat sangat berhubung isu penindasan etnik Rohingya yang berlanjutan buat sekian lamanya
  7. NDP berpendapat dasar tidak campur tangan ASEAN terhadap isu domestik negara
    anggotanya seharusnya tidak menjadi alasan pertubuhan serantau itu membisu kerana isu penindasan etnik Rohingya bukanlah isu dalaman Myanmar semata-mata sebaliknya melibatkan soal kemanusiaan sejagat
  8. Dikesempatan ini NDP menyeru agar ASEAN dan pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa mengambil langkah tegas dan segera untuk memberi tekanan terhadap Myanmar agar menghentikan kekejaman yang ditimpakan keatas puak etnik Rohingya dan mengambil langkah segera untuk memperbaiki keadaan sedia ada
  9. NDP bertegas bahawa konflik di Rakhine, sebuah negeri di utara Myanmar yang berterusan sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa serta masjid dan tempat tinggal dibakar, amat memerlukan tindakan tegas. Sebagai kesatuan negara-negara di rantau ini, ASEAN tidak boleh dilihat membisu dalam masalah ini
  10. Sehubungan dengan itu NDP juga mengajak semua pihak untuk sama-sama kita memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanallah Ta’ala  agar melindungi umat Islam Rohingya dari kekejaman dan kezaliman yang ditimpakan keatas mereka dan berdoa dan agar musibah yang dihadapi oleh umat Islam Rohingya akan berakhir dengan segeranya
  11. Kita juga panjatkan doa kehadrat ilahi agar negara kita Brunei Darussalam kekal aman dan makmur. Amin



Suadara Malai Hassan Othman

Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP)

Limbaruh Hijau, Jerudong Brunei Muara

25 Safar 1438/25 November 2016