Tuesday, December 29, 2015

Menyelusuri isu Tamu Kianggeh





Isu pemindahan peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh ke tapak baru di Gadong banyak mendedahkan kelemahan-kelemahan pihak berkuasa dalam mengurus dan mentadbir kemudahan-kemudahan serta kuatkuasa pengawalan muamalah di tamu tersebut.

Dari pemerhatian saya, kebersihan dikawasan tersebut tidak diurus dengan baik. Kemudahan-kemudahan yang disediakan tidak terpelihara. 

Terdapat sebuah bangunan baru yang kononnya dibina untuk kemudahan peniaga-peniaga agar lebih teratur tinggal terbengakali tidak disiapkan. 

Terdapat juga mesin-mesin moden dan canggih untuk melupuskan bahan buangan dengan sempurna tidak digunakan. 

Kata salah seorang peniaga tidak pernah dia melihat mesin itu digunakan dan tidak juga pernah ada inisiatif pihak-pihak tertentu untuk menunjuk ajar bagaimana menggunakanya.

Kawasan pembuangan sampah di Tamu Kianggeh tidak terurus dengan baiknya dan banyak lagi isu-isu pengurusan yang lemah yang dapat dilihat semasa membuat kunjungan ke Tamu Kianggeh.

Dalam hal ini memang mudah untuk mengambing hitamkan penjaja-penjaja dan peniaga-peniaga. 

Tetapi hakikatnya sebagai pihak berkuasa yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir kawasan tamu itu dan dari sudut akauntabiliti, mereka juga mesti dipertanggunjawabkan atas pengabaian kebersihsan, keselamatan dan keselesaan serta kecantikan kawasan tamu tersebut.   

Persoalannya, kalau Tamu Kianggeh pun susah untuk pihak berkenaan mengurus dan mentadbir dengan baiknya, bagaimana kita boleh yakin mereka boleh memberikan perkhidmatan cemerlang di kawasan tamu baru di Gadong?

Kesungguhan pihak berkenaan untuk memindah peniaga-peniaga ke tapak baru sangat mengkagumkan tapi lebih mengkagumkan ialah tindakan mahu menutup mulut mereka agar akur saja dan jangan buat bising. 

Sekarang pintu mereka untuk bersuara dan meluahkan kegelisahan kepada pihak-pihak berkenaan sudah di kabat.

Senario nya mungkin kurang 12 peniaga saja yang terjejas kerana faktor umur, sentimen terhadap warisan sejarah dan budaya serta keupayaan untuk menghadapi perubahan yang mencabar membuatkan mereka tiada pilihan lain selain gulung tikar.

Ikut sifir pihak berkuasa, kepentingan bilangan mereka yang kecil mungkin kurang mustahak dipertimbangkan berbanding kepentingan untuk memajukan kawasan tamu baru terutama projek BND 2.6 juta Tamu Gadong (Berpayung). 

Mungkin saja dalam sifir ini mereka terlepas pandang dari sudut kemanusiaan dan ihsan. 

Mungkin saja mereka terlepas pandang untuk mengambil kira berapa banyak perut yang perlu diberikan makanan setiap hari, kanak-kanak yang bergantung harap dari rezeki pencarian keluarga yang akan tersisih dan warga-warga emas serta ibu tunggal yang bergantung hidup di Tamu Kianggeh dalam arus kemajuan kawasan tamu baru ini? 

Apakah mereka sudah mengambil kira sebilangan kecil yang terjejas ini serta keluarga-keluarga mereka akan jatuh miskin gara-gara tidak lagi berupaya untuk berniaga di Tamu Kianggeh?

Sementara itu menurut maklumat dari sumber-sumber yang sahih pihak berkuasa telah ‘meminta’ kerjasama dari semua media perdana di negara ini agar tidak lagi ‘menyiarkan’ isu peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh. 

Wartawan-wartawan pula diminta agar berkerjasama menjayakan projek pemindahan tersebut dan paling penting membantu menyelamatkan projek Tamu Gadong (Berpayung) yang menelan belanja BND 2.6 juta untuk disiapkan tetapi pernah terbengkalai buat seketika disebabkan perancangan yang lemah. 

Dalam bahasa kasarnya wartawan-wartawan dari media-media perdana yang juga dibawah kawalan mereka sudah di gam dan pena mereka sudah dirantai. 

Mereka tidak lagi berani melaksanakan peranan asas mereka iaitu untuk menegakkan keadilan dan kebenaran, melindungi hak semua pihak untuk didengari suara mereka.

Susah untuk saya memahami kenapa elit-elit pentadbir tidak gemar dan tidak selesa dengan suara-suara peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh. 

Menurut peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh yang ditemui, ditahap membuat perancangan pun mereka yang berkepentingan ini tidak pernah dibawah berunding. 

Mereka baru sekali dipanggil untuk bermuzakarah tentang program untuk memindah mereka ke tapak yang baru, itupun setelah isu mereka disebarkan melalui media-media perdana dan tersebar luas melalui media sosial.

Apa yang dapat dilihat dalam isu Tamu Kianggeh ialah elit-elit pentadbir yang berkenaan gagal dalam memikir dan membuat keputusan yang adil dan berkesan. 

Yang dimaksudkan berkesan itu ialah keberkesanan yang menghasilkan kesan positif bukan negatif, keputusan yang tepat, matang, sesuai dengan masa, persekitaran dan tidak membawa musibah kepada orang-orang yang terlibat terutama apabila ia melibatkan golongan orang berpendapatan rendah. 

Dalam lain perkataan keputusan yang adil ialah keputusan yang tidak mendatangkan kemudaratan kepada semua yang menerima hasil keputusan tersebut. 

Orang yang membuat keputusan berkesan ini akan berpuas hati dengan keputusannya. 

Fikirannya tenang, hatinya jernih dan pandangannya jelas. Ia akan berani berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang hasil keputusan yang dibuat dengan penuh bijaksana. 

Kalau ianya orang Islam ia yakin bahawa perbuatannya itu baik dan diredai Allah. 

Apakah kriteria-kriteria ini terdapat dalam pengurusan isu Tamu Kianggeh? Wallahu wa’alam bisawab! MHO

NOTA: Artikel diatas merupakan pandangan peribadi saya dan tidak mewakili pandangan mana-mana pertubuhan yang saya sertai.

2 comments:

Anna Ghaniah said...

Ugama menuntut kpd pemerintahan yg adil dan berihsan...

mutiara said...

Tempat tumpahnya keadilan itu adalah kepada rakyat...!