Isu pemindahan peniaga-peniaga di
Tamu Kianggeh ke tapak baru di Gadong banyak mendedahkan kelemahan-kelemahan
pihak berkuasa dalam mengurus dan mentadbir kemudahan-kemudahan serta kuatkuasa
pengawalan muamalah di tamu tersebut.
Dari pemerhatian saya, kebersihan
dikawasan tersebut tidak diurus dengan baik. Kemudahan-kemudahan yang
disediakan tidak terpelihara.
Terdapat sebuah bangunan baru yang kononnya
dibina untuk kemudahan peniaga-peniaga agar lebih teratur tinggal terbengakali
tidak disiapkan.
Terdapat juga mesin-mesin moden dan canggih untuk melupuskan
bahan buangan dengan sempurna tidak digunakan.
Kata salah seorang peniaga tidak
pernah dia melihat mesin itu digunakan dan tidak juga pernah ada inisiatif pihak-pihak
tertentu untuk menunjuk ajar bagaimana menggunakanya.
Kawasan
pembuangan sampah di Tamu Kianggeh tidak terurus dengan baiknya dan banyak lagi
isu-isu pengurusan yang lemah yang dapat dilihat semasa membuat kunjungan ke
Tamu Kianggeh.
Dalam hal ini memang mudah untuk
mengambing hitamkan penjaja-penjaja dan peniaga-peniaga.
Tetapi hakikatnya sebagai pihak berkuasa
yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir kawasan tamu itu dan dari sudut
akauntabiliti, mereka juga mesti dipertanggunjawabkan atas pengabaian kebersihsan,
keselamatan dan keselesaan serta kecantikan kawasan tamu tersebut.
Persoalannya, kalau Tamu Kianggeh pun susah untuk pihak berkenaan mengurus dan mentadbir dengan baiknya, bagaimana kita boleh yakin mereka boleh memberikan perkhidmatan cemerlang di kawasan tamu baru di Gadong?
Kesungguhan pihak berkenaan untuk
memindah peniaga-peniaga ke tapak baru sangat mengkagumkan tapi lebih
mengkagumkan ialah tindakan mahu menutup mulut mereka agar akur saja dan jangan
buat bising.
Sekarang pintu mereka untuk bersuara dan meluahkan kegelisahan
kepada pihak-pihak berkenaan sudah di kabat.
Senario nya mungkin kurang 12
peniaga saja yang terjejas kerana faktor umur, sentimen terhadap warisan
sejarah dan budaya serta keupayaan untuk menghadapi perubahan yang mencabar membuatkan
mereka tiada pilihan lain selain gulung tikar.
Ikut sifir pihak berkuasa, kepentingan
bilangan mereka yang kecil mungkin kurang mustahak dipertimbangkan berbanding kepentingan untuk
memajukan kawasan tamu baru terutama projek BND 2.6 juta Tamu Gadong (Berpayung).
Mungkin saja dalam sifir ini mereka terlepas pandang dari sudut kemanusiaan dan ihsan.
Mungkin saja mereka terlepas pandang untuk mengambil kira berapa banyak
perut yang perlu diberikan makanan setiap hari, kanak-kanak yang bergantung
harap dari rezeki pencarian keluarga yang akan tersisih dan warga-warga emas
serta ibu tunggal yang bergantung hidup di Tamu Kianggeh dalam arus kemajuan
kawasan tamu baru ini?
Apakah mereka sudah mengambil kira sebilangan kecil yang
terjejas ini serta keluarga-keluarga mereka akan jatuh miskin gara-gara tidak
lagi berupaya untuk berniaga di Tamu Kianggeh?
Sementara itu menurut maklumat dari
sumber-sumber yang sahih pihak berkuasa telah ‘meminta’ kerjasama dari semua
media perdana di negara ini agar tidak lagi ‘menyiarkan’ isu peniaga-peniaga di
Tamu Kianggeh.
Wartawan-wartawan pula diminta agar berkerjasama menjayakan
projek pemindahan tersebut dan paling penting membantu menyelamatkan projek
Tamu Gadong (Berpayung) yang menelan belanja BND 2.6 juta untuk disiapkan tetapi
pernah terbengkalai buat seketika disebabkan perancangan yang lemah.
Dalam
bahasa kasarnya wartawan-wartawan dari media-media perdana yang juga dibawah
kawalan mereka sudah di gam dan pena mereka sudah dirantai.
Mereka tidak lagi berani
melaksanakan peranan asas mereka iaitu untuk menegakkan keadilan dan kebenaran,
melindungi hak semua pihak untuk didengari suara mereka.
Susah untuk saya memahami kenapa elit-elit
pentadbir tidak gemar dan tidak selesa dengan suara-suara peniaga-peniaga di
Tamu Kianggeh.
Menurut peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh yang ditemui, ditahap
membuat perancangan pun mereka yang berkepentingan ini tidak pernah dibawah berunding.
Mereka baru sekali dipanggil untuk bermuzakarah tentang program untuk memindah
mereka ke tapak yang baru, itupun setelah isu mereka disebarkan melalui
media-media perdana dan tersebar luas melalui media sosial.
Apa yang dapat dilihat dalam isu
Tamu Kianggeh ialah elit-elit pentadbir yang berkenaan gagal dalam memikir dan
membuat keputusan yang adil dan berkesan.
Yang dimaksudkan berkesan itu ialah
keberkesanan yang menghasilkan kesan positif bukan negatif, keputusan yang
tepat, matang, sesuai dengan masa, persekitaran dan tidak membawa musibah
kepada orang-orang yang terlibat terutama apabila ia melibatkan golongan orang
berpendapatan rendah.
Dalam lain perkataan keputusan yang adil ialah keputusan yang tidak mendatangkan kemudaratan kepada semua yang menerima hasil keputusan tersebut.
Orang yang membuat keputusan berkesan ini akan berpuas hati dengan
keputusannya.
Fikirannya tenang, hatinya jernih dan pandangannya jelas. Ia akan
berani berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang hasil keputusan yang
dibuat dengan penuh bijaksana.
Kalau ianya orang Islam ia yakin bahawa
perbuatannya itu baik dan diredai Allah.
Apakah kriteria-kriteria ini terdapat
dalam pengurusan isu Tamu Kianggeh? Wallahu wa’alam bisawab! MHO
NOTA: Artikel diatas merupakan pandangan peribadi saya dan tidak mewakili pandangan mana-mana pertubuhan yang saya sertai.
2 comments:
Ugama menuntut kpd pemerintahan yg adil dan berihsan...
Tempat tumpahnya keadilan itu adalah kepada rakyat...!
Post a Comment