HOME

Sunday, May 17, 2015

Titah ajak kita introspeksi diri


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tahun ini sekali lagi menandai sambutan Israk Mekraj dengan titah menekankan pentingnya memelihara ugama yang menurut baginda merupakan tunggak segala kebaikan. 


Ada tiga perkara penting yang digarisbawahkan baginda dalam hal memelihara ugama ini.

Pertama ialah pentingnya menunaikan kewajipan sembahyang lima waktu dengan sempurna, kedua mempelajari ilmu ugama dan Al-Quran dengan bersungguh-sungguh bukannya dengan ala kadar dan ketiga  menentukan dasar dan matlamat yang hendak dituju (kearah memperkukuh ugama), bukan membuat dasar yang melemahkan ugama.

Kenapa tiga perkara ini di tekankan baginda sultan?

Jawapannya jelas iaitu terdapat keperluan yang semakin mendesak untuk mempertingkatkan, memperkukuh dan memperbaiki tiga perkara tersebut yang ada kaitannya dengan akidah, akhlak dan amal umat Islam khususnya di Brunei.

Kalau diamat-amati titah tersebut jelas mengambarkan bahawa kelemahan dalam tiga perkara ini bukan sahaja melanda rakyat biasa, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan warga emas tetapi juga dikalangan kakitangan kerajaan dan swasta, pegawai-pegawai tinggi, peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusha muslim, pengubal dasar, malahan dikalangan orang ugama sendiri.

Untuk itu teguran Ikhlas baginda tersebut sepatutnya membuatkan kita insaf akan keadaan diri kita (terutama diri saya sendiri) dalam tiga perkara pokok tersebut.

Kita perlu memuhasabah diri untuk memperbaiki dan memantapkan lagi akidah, membetulkan akhlak dan amalan kita dalam sama-sama memenuhi tuntutan untuk memelihara ugama yang haq ini.

Apabila akidah mantap, sembahyang akan lebih khusuk dan sempurna bukan ala kadar. Bila mengajar dan belajar ilmu ugama dan al-Quran dengan Ikhlas dan bersungguh-sungguh, in sya Allah natijahnya akidah dan akhlak akan lebih baik dan mantap dan dengan memiliki ilmu yang betul dan bukan ala kadar,  in sya Allah natijahnya amalan akan lebih baik dan keunggulan ugama Islam akan lebih terpelihara.

Disebaliknya kalau semua perkara ini dibuat dengan ala kadar setentunyalah hasilnya pun ala kadar sahaja.