HOME

Saturday, June 14, 2014



Saudara Baru Perlukan Bimbingan

Sambil berzikir menghitung-hitung tasbih, si ayah mengusap-usap manja kepala anaknya yang sedang berbaring santai santai disisinya.

Dari jauh saya dapat melihat kegembiraan terpancar dari wajah si ayah yang duduk berzikir disatu sudut mesjid yang menjadi kegemarannya.

Lagi setengah jam masuk waktu Isya.

Saya bangun dari tempat duduk dan terus menuju ketempat mereka.

“Assalamualaikum, How are you brother?” tanya saya sambil mengambil tempat duduk bersama sahabat yang buat sekian lama kami tidak bersua muka.

“Waalaikumsalam, Alhamdullilah,”jawabnya mesra.

Si anak, yang tadinya berbaring, cepat cepat bangun dan bersalam dengan saya.

“He is my son. His name is Hakim. He has just converted to Islam”, ujar sahabat saya memperkenalkan anaknya dengan gembira.

“Mashaallah ! Alhamdullilah! Allahu Akbar! Bila ia masuk Islam?” tanya saya sambil memandang kearah si anak yang baru berusia 15 tahun itu. Saya lantas memegang erat tangan si anak dan mengucapkan tahniah kepadanya.

Dengan senyuman lebar kawan saya yang berketurunan India itu lantas menjawab,“Baru jua. That’s why I am so happy lah brother.”

Si ayah pun sebenarnya sudara baru dalam Islam. Dia memeluk ugama Islam kurang lebih 5 tahun yang lalu. Sebelum itu dia berugama Hindu. Anaknya si Hakim ikut ibunya menganut ugama Katholik.

Selama ini dia tidak pernah pun menceritakan hal ehwal pegangan kepercayaan keluarganya.

“I have been waiting for this moment for my son to willingly embrace Islam. Alhamdullilah, all my prayers answered,” kata kawan saya lagi sambil menambah,”his mother is okay with it. She said he is old enough to decide what is best for him, so it's up to him.”

Katanya lagi Hakim sedang menuntut disalah sebuah sekolah menegah di Miri dan sekarang dalam musim percutian sekolah.

“Iatah during school holidays ani I want him to learn the basic about sembahyang. If you know anyone who can give tuition on ugama for him, please let me know brother”, katanya lagi.

Saya lantas menjawab,“Eh I thought Pusat Dakwah has this 14-day course bimbingan for the saudara baru. Sudah you arrange kah?”

“Sudah arrange and I hope it will be soon, otherwise I have to find another way lah before he balik to Miri,”ujar kawan saya.

“Mudah-mudahan dipermudahkan,” jawab saya sambil fikiran melayang mengingat seorang kawan lagi, iaitu seorang pekerja Indonesia keturunan Cina dari Pontianak yang saya dimaklumkan telah memeluk ugama Islam pada tahun lepas.

Hampir satu tahun sudah berlalu tetapi hingga sekarang katanya belum lagi dipanggil untuk mengikuti kursus bimbingan saudara baru.

Mungkin kerana dia bukan rakyat Brunei dan mungkin peraturan kursus hanya memberikan keutamaan kepada saudara saudara baru yang terdiri dari rakyat dan penduduk tetap Brunei sahaja, fikir saya.


Walaubagaimanapun saya perhatikan kawan Indon, yang mengakui tertarik dengan Islam apabila sering melintas mesjid mesjid di Belait, tidak pernah patah hati untuk menghayati Islam. Dia sering hadir untuk sembahyang berjemaah Maghrib dan Isyak.

Dia juga suka bertanya tentang ugama dan cara cara sembahyang, ibadat puasa dan lain-lain. 

Memang dia perlukan bimbingan tetapi apakan daya, saya hanya dapat memberikan dia buku buku asas tentang ugama dan buku belajar sembahyang kerana menyedari undang-undang tidak membenarkan sesiapa yang tidak bertauliah untuk mengajar agama selain kepada keluarga sendiri.

Peraturan ini (termasuk denda yang boleh dikenakan kepada sesiapa yang didapati bersalah) dengan jelas ditampal dibeberapa tempat strategik diruang dalam masjid sebagai peringatan kepada jemaah jemaah.

Memang satu peraturan yang bagus dalam hal menjaga akidah umat Islam dari dipesongkan oleh orang orang yang coba membawa ajaran sesat dan bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Akan tetapi dari satu sudut yang lain ianya juga semacam penghalang kepada jemaah jemaah untuk melaksanakan tuntutan ‘sampaikanlah walaupun sepotong ayat’.

Ada pun yang berilmu dan bertauliah, mereka pula semacam terlalu sibuk dengan komitmen lain hingga tidak dapat meluangkan banyak masa untuk mengendali kelas kelas bimbingan di mesjid mesjid dan surau surau.

Ada juga kedengaran alasan kekurangan tenaga pengajar, tetapi anehnya ramai juga lepasan Kolej Universiti Perguruan Ugama yang masih menganggur belum ada sebarang pekerjaan.

Entahlah, saya pun sebenarnya bingung jadinya apabila memikirkan keadaan ini.

Rasa sedih bila memikirkan keadaan saudara saudara baru yang sudah mendapat hidayah tetapi keperluan mereka untuk mendapat bimbingan tidak dapat dipenuhi dengan sebaiknya.

Kalau merujuk statistik, memang membanggakan. Dalam ucapan ucapan rasmi dan dalam akhbar akhbar selalu diberigakan tentang jumlah orang orang yang menukar ugama dan pegangan kepercayaan mereka kepada Islam yang semakin bertambah di Brunei. Fakta juga sering ditayangkan untuk menunjukkan bahawa beribu setiap tahun yang telah mengikuti kursus bimbingan selama 14 hari untuk saudara saudara baru.

Setentunya satu gambaran baik dalam perkembangan Islam di Brunei jika dilihat dari sudut angka dan statistik yang menunjukkan garisan graf yang sentiasa menaik. Maka dalam hubungan ini, kalau sekadar dua tiga orang yang tercicir berbanding beribu yang sudah di kursus mungkin saja perkara tersebut dikira kes terlepas pandang.

Walaubagaimanapun, saya berpendapat dalam keghairahan mencatat graf diharap jangan pula kita lupa bahawa saudara saudara baru bukannya semata-mata angka hanya untuk dibangga-banggakan dalam laporan KPI (Key Performance Index) jabatan.

Saya yakin di akhirat nanti Allah tidak akan tanya apa KPI kitani, berapa ramai sudah yang berjaya kita Islamkan, tetapi yang akan disoal nanti ialah apakah kita sudah sampaikan dengan secukupnya dan sebaiknya ilmu ugama kepada semua saudara saudara baru kita? Saya khuatir orang bertauliah mungkin yang dulu kena jawap. Wallahu wa’alam.