HOME

Wednesday, February 21, 2018

Pembaharuan Sistem Demokrasi Akar Umbi


Proses Pemilihan Penghulu dan Ketua Kampung Daerah Belait Sedang Berlangsung  

FEBRUARI 21, 2018: Mungkin tidak ramai yang mengetahui atau tidak perasan bahawa proses pemilihan bagi Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung di Daerah Belait sedang dilaksanakan.

Kecuali mereka yang menjadi pelanggan tetap Pelita Brunei. Itu pun kalau mereka terbaca tentangnya yang telah disiarkan diruang iklan pada minggu lepas.
Iklan pencalonan jawatan
Penghulu dan Ketua Kampung Daerah Belait
 
Menurut petugas di Bahagian Institusi Penghulu dan Ketua Kampung di Jabatan Daerah Belait, fotokopi iklan yang sama juga telah disebarluaskan dengan menampal di tempat-tempat strategik di premis-premis perniagaan di Kuala Belait. Tidak pasti sama ada fotokopi iklan yang sama juga turut ditampal di kawasan-kawasan lain yang terlibat seperti di Mukim Seria, Sukang, Bukit Sawat, Labi dan Melilas.

Dalam ruang iklan tersebut telah dihebahkan bahawa ‘Pencalonan Bagi Mengisikan Jawatan Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Belait’ telah mula dibukakan.

Dinyatakan bahawa penduduk-penduduk yang bermastautin di mukim-mukim dan kampung-kampung yang terlibat adalah dipelawa untuk mengahadapkan pencalonan mereka kepada Bahagian Institusi Penghulu dan Kampung sebelum 15 Mac 2018 ini.

Menurut maklumat yang terdapat dalam iklan tersebut, sebanyak 4 jawatan Penghulu yang dibukakan melibatkan kawasan-kawasan seperti berikut: Mukim Kuala Belait, Mukim Seria, Mukim Sukang, Mukim Bukit Sawat dan Mukim Melilas.

Manakala 14 jawatan Ketua Kampung dibukakan untuk kawasan-kawasan berikut: Kampung Mumong A dan B, Kampung Pandan A, B dan C, Kampung Sungai Teraban, Kampung Pekan Seria, Kampung Perancangan Perumahan Negara Lorong Tengah, Kampung Sungai Liang, Kampung Lumut l dan ll, Kampung Perancangan Perumahan Negara Kampung Lumut Mukim Liang, Kampung Bukit Sawat dan Kampung Merangking.

Apa yang lebih menarik ialah iklan yang baru disiarkan berbeza dari yang sudah-sudah. Pada masa lalu, ianya diiklankan sebagai jawatan kosong dan mempelawa sesiapa yang berminat untuk mengisikan jawatan tersebut.

Kini, penduduk-penduduk di Mukim-Mukim dan Kampung-Kampung yang berkenaan dipelawa untuk mencadangkan calon bagi jawatan Penghulu atau Ketua Kampong masing-masing.
Fotokopi iklan yang ditampalkan di dinding pintu masuk
ke Bahagian Institusi Penghulu dan Ketua Kampung
Jabatan Daerah Belait
Menurut petugas di Jabatan Daerah Belait, format baru ini diperkenalkan di bawah Skim Perkhidmatan Penghulu dan Ketua Kampung tahun 2013 bermula 1 April 2015 bagi menggantikan Skim Tahun 1998.
Skim baharu ini diperkenalkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Baginda Sultan juga telah memperkenankan langkah mengemaskan pendaftaran pengundi dan tatacara pengundian bagi pemilihan Penghulu dan Ketua Kampung.
Dalam langkah ini pendaftaran dan daftar pengundi di setiap kampong akan dikemaskan setiap enam atau 12 bulan; pengundi-pengundi yang berdaftar akan diberikan surat jemputan untuk hadir ke Majlis Pemilihan dan Pengundian Calon; dan Pengundian dan Pemilihan Ketua Kampung hanya dikira sah jika dihadiri yakni disertai oleh tidak kurang 1/3 dari jumlah pengundi berdaftar di kampung berkenaan. Dan pengemasan ini akan sama digunakan bagi peringkat mukim untuk pengundian dan pemilihan Penghulu Mukim.
Perkembangan ini setentunya sangat menarik bagi pemerhati-pemerhati politik tanah air.
Kalau tidak keterlaluan dapat diandaikan bahawa langkah untuk menyerapkan elemen-elemen penting dalam sistem demokrasi akar umbi ini, iaitu seperti proses penamaan calon, saringan kelayakan calon untuk bertanding dan pengundian calon semacam satu langkah awal mempersiapkan rakyat dan penduduk bagi sistem pilihan raya peringkat nasional.
Kemungkinan langkah awal ini sebagai satu latihan dan kajian, wa’allah wa’alam.  Kita lihat dan tunggu. Oleh itu, sambil kita melihat dan tunggu maka ada baiknya kita ikut serta merayakannya.
Hal ini kerana, menurut penjelasan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negri, tujuan utama Skim Perkhidmatan baharu termasuk sistem pemilihan yang diperkenalkan ini adalah bagi mempertingkat, memperkukuh dan memantapkan lagi kewibawaan, mutu atau kualiti kepimpinan serta keberkesanan Institusi Penghulu dan Ketua Kampung sebagai teras kepimpinan akar umbi.
Poster menunjukkan jumlah penduduk dibeberapa mukim di daerah Belait. 
KHEDN berharap melalui skim baharu ini ianya akan dapat memupuk semangat kewarganegaraan yang baik dalam mendukung kepimpinan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Skim baharu ini juga diharapkan akan dapat menjamin kepimpinan yang bermutu lagi di peringkat akar umbi.

Di bawah skim baharu ini Penghulu Mukim dan Ketua Kampung yang baru dilantik akan berkhidmat selama 10 tahun, dan itu pun tertakluk kepada penilaian prestasi bagi perkhidmatan lima tahun pertama.

Dan setelah 10 tahun itu, pelantikan semula adalah melalui proses pencalonan dan pengundian yang diadakan. Jika terpilih barulah akan dilantik untuk tempoh lima-lima tahun sehingga mencapai umur 70 Tahun.

Dalam erti kata lain, prestasi seorang Ketua Kampung dan Penghulu Mukim tidak sahaja akan dinilai oleh pegawai daerah malahan penduduk kampung dan mukimnya juga akan berperanan menentukan sama ada Penghulu dan Ketua Kampung masing-masing layak meneruskan perkhidmatan setelah 10 Tahun.

Penduduk kampung dan mukim pula akan mempunyai pilihan antara Ketua Kampung dan Penghulu Mukim yang telah diketahui tahap prestasi dan mutu kepimpinan masing-masing dengan calon atau calon-calon baharu yang mungkin lebih berkelayakan serta berkebolehan memberikan kepimpinan peringkat akar umbi yang berkesan.

Semoga pembaharuan sistem politik akar umbi ini akan terus diperbaiki dan dikembangkan ke peringkat nasional contohnya dalam pemilihan perwakilan rakyat di Majlis Mesyuarat Negara.