HOME

Saturday, September 30, 2017


Cabaran Meningkatkan Daya Saing Brunei 


29 SEPTEMBER 2017: TIGA FAKTOR UTAMA yang menjadi gendala bagi ekonomi Negara Brunei untuk lebih berdaya saing; pertama akses kepada kewangan yang terhad; kedua, karenah birokrasi kerajaan; dan ketiga etika tenaga buruh nasional. 

Ketiga-tiga bidang in perlu penambahbaikan jika Brunei ingin dinaikan ke darjah yang lebih tinggi dalam kelas daya saing global, kalau pun tidak sedarjah sekurang-kurangnya standing dengan negara-negara yang lebih hebat dan cemerlang daya saing ekonomi nya di arena serantau dan antarabangsa.

Negara-negara yang menduduki tangga ke-10 teratas tahun ini adalah Switzerland, Amerika Syarikat, Singapura, Netherlands, Jerman, Hong Kong, Sweden, United Kingdom, Jepun dan Finland.




Brunei secara keseluruhan, menurut kajian terkini World Economic Forum (WEF) Global Competitiveness, adalah lebih berdaya saing berbanding tahun sebelumnya.

Kajian tersebut merupakan penilaian daya saing (competitiveness) utama di dunia terhadap 12 teras (pillars) yang merangkumi konsep untuk produktiviti dan kemakmuran jangka panjang (long-term prosperity) seperti institusi, infrastruktur, iklim makro-ekonomik, kesihatan, pendidikan, perkembangan teknologi, sumber tenaga pekerja dan lain-lain.

Tahun lalu Brunei menduduki tangga ke 58 daripada 137 ekonomi dunia. Brunei tahun ini naik 12 anak tangga iaitu naik ke anak tangga ke 48. Dari segi markah, Brunei mencapai jumlah markah sebanyak 4.5 daripada 7 markah penuh, menurut Global Competitiveness Report 2017-2018 yang diterbitkan oleh WEF.


Laporan tersebut juga menunjukkan bahawa Negara Brunei Darussalam adalah ekonomi yang paling meningkat di kalangan negara-negara ASEAN. Negara Brunei Darussalam kini menduduki tangga ke-5 teratas di rantau ASEAN didahului oleh Republik Singapura, Malaysia, Thailand dan Indonesia.


Namun demikian lebih banyak lagi usaha dan kesungguhan diperlukan bagi memperbaiki iklim perniagaan di negara ini.

Seperti yang dilaporkan, akses kepada kewangan perlu perhatian dan tindakan pihak-pihak berwajib termasuklah pelaku-pelaku dalam industri perbankan di negara ini.

Isu ini melibatkan banyak aspek antaranya ialah kemudahan yang terhad bagi pengusaha-pengusaha untuk mendapatkan pinjaman bank; industri perbankan yang agak kecil; Kos perkhidmatan perbankan yang agak tinggi dan karenah pita merah (red tape) dalam berurusan dengan bank di negara ini.

Selain itu menurut kajian, bank-bank yang beroperasi di Negara Brunei lebih suka berurusan dengan pelanggan-pelanggan persendirian dari berurusan dengan syarikat-syarikat.

Makanya kita sering mendengar rungutan dikalangan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana betapa susahnya untuk mendapatkan pinjaman bank dalam usaha membangunkan perniagaan mereka.

Sementara itu iklim perniagaan juga turut terjejas oleh isu birokrasi sektor awam yang sering melunturkan minat dan semangat pengusaha-pengusaha tempatan untuk terus berkembang maju dan turut mematahkan semangat pelabur-pelabur asing untuk berurusniaga dengan Brunei. Ini ditambah buruk lagi dengan etika tenaga buruh nasional yang kurang menyenangkan, seperti suasana kerja yang kurang kondusif, etika pekerja yang rendah, tidak bermotivasi, budaya kerja yang kurang sihat terutama di sektor awam, hubungan kurang baik antara majikan dan pekerja, kurang insentif, yang mana semua ini menjejaskan produktiviti.

Walaubagaimanapun Jabatan Tenaga dan Perindustrian Jabatan Perdana Menteri menilai  peningkatan kedudukan negara dalam laporan tersebut menunjukkan bahawa sentimen perniagaan di negara ini menuju ke arah yang positif dan sejajar dengan usaha-usaha komprehensif ke arah mendukung iklim pro-business yang telahpun disambut baik oleh pihak Bank Dunia seperti yang dilaporkan dalam Laporan Doing Business 2017 tahun lalu.

Dalam satu  kenyataan akhbar jabatan tersebut menyatakan bahawa, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, melalui Jawatankuasa Pandu Ease of Doing Business, sedang giat menerajui usaha reformasi bagi mempermudah cara kecekapan proses-proses kerajaan, memastikan kos yang kompetitif dalam menjalankan perniagaan dan penyelarasan perundangan yang seimbang dengan amalan terbaik antarabangsa.

Beberapa inisiatif juga dijalankan yang lebih menumpukan bagi mempermudahkan kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Negara Brunei Darussalam dengan penubuhan FDI Action Support Centre yang bertanggungjawab untuk memproses FDI secara 'fast-track' dan penyelarasan bersama agensi-agensi pelaburan yang berkaitan.

Inisiatif-inisiatif tersebut telah meningkatkan keyakinan negara sebagai destinasi untuk pelaburan dengan influx FDI yang tinggi dari berbagai sektor. Satu contoh ialah, komitmen Hengyi Industries yang bernilai AS$12 bilion untuk mengembangkan fasa kedua projek petrokimia di Pulau Muara Besar (PMB), menjadikan projek pelaburan luar Hengyi yang terbesar.

Negara melihat peningkatan iklim perniagaan merupakan asas utama dalam meningkatkan tahap daya saing negara bagi memupuk trajektori pertumbuhan ekonomi selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Ke arah ini, kerjasama erat di antara pihak kerajaan dengan sektor swasta adalah kunci utama kepada kejayaan dalam merangsang perkembangan di dalam sektor bukan minyak dan gas. Dengan penilaian terhadap 12 teras (pillars) di dalam Laporan Global Competitiveness, Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 akan terus giat memantau kedudukan negara dan menjadikan laporan ini sebagai 'baseline' kebangsaan dalam mengenal pasti tahap daya saing dan mercu ke arah meningkatkan fokus untuk mendorong perkembangan sosioekonomi dijangka masa panjang.

Sebagai salah satu persediaan bagi laporan tahun ini, WEF dan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri menjalankan Kajian Global Competitiveness iaitu Executive Opinion Survey pada bulan Mac sehingga bulan Mei tahun ini.

Dalam laporan tahun ini, peningkatan penyertaan daripada sektor swasta dapat dirasai dengan penglibatan daripada Syarikat Pelabur Asing (FDI), Syarikat-Syarikat Milik Kerajaan (GLC) serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEs) yang meliputi beberapa sektor seperti minyak dan gas, pertanian, perdagangan, logistik dan perhubungan.